INSPIRED UUM perkasa pensyarah muda
Program 12 hari UTLC latih 24 staf akademik baharu tingkat kualiti pengajaran
Gambar Nursyauqina Lokman
SINTOK, 11 Mac 2026: Seramai 24 pensyarah muda daripada pelbagai pusat pengajian dan latar belakang kepakaran menyertai Program Pensijilan Pengajaran dan Pembelajaran IPT (INSPIRED) Bil.1/2026 anjuran Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berlangsung selama 12 hari bermula 22 Februari hingga 9 Mac 2026.
Program ini merupakan antara inisiatif strategik UUM dalam memperkukuhkan kemahiran pedagogi serta meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan pensyarah baharu.

Pengarah UTLC, Prof. Dr. Siti Noor Ismail berkata, pembangunan profesional berterusan bagi memastikan pensyarah sentiasa bersedia sangat penting bagi menghadapi perubahan landskap pendidikan tinggi yang semakin dinamik.
Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai modul berkaitan reka bentuk kurikulum transformatif, pemahaman pembelajaran dewasa, integrasi teknologi digital dalam pengajaran, strategi pentaksiran serta pembangunan kesarjanaan dalam pengajaran dan pembelajaran (Scholarship of Teaching and Learning – SoTL).
Program ini turut melibatkan aktiviti interaktif seperti simulasi pengajaran, perbincangan akademik dan pembentangan tugasan bagi memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan pengetahuan secara praktikal.
Pensyarah dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Dr. Amalia Rosmadi berkata, program ini memberikan gambaran yang jelas dan menyeluruh tentang pengajaran dan pembelajaran di universiti.

“Program ini membantu pensyarah memahami pendekatan pedagogi yang lebih sistematik dan berkesan dalam proses pengajaran,” katanya.
Dr. Rose Manisah Sulong dari Pusat Pengajian Pendidikan (SoE) pula menyatakan program seperti ini wajar diteruskan kerana mampu membantu pensyarah muda membina keyakinan dalam pengajaran.
Sementara itu, Dr. Aszlan Selamat dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SCLP) mencadangkan agar program ini dilaksanakan secara berkala dengan penjadualan yang lebih sesuai bagi membolehkan peserta memahami setiap modul dengan lebih mendalam.
Program INSPIRED Bil.1/2026 melabuhkan tirainya dengan majlis penutup yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Latihan), Dr. Muhamad Abrar Bahaman bersama Timbalan Pengarah (Teknikal), Dr. Idyawati binti Hussein @ Hussen.



