SOG jalin kolaborasi strategik dengan Majlis Daerah Sik dan KEDA
Gambar Dr. Noor Hanis Zainol Abidin
SIK, 15 Mac 2026: Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan peranannya dalam agenda pembangunan komuniti apabila mengadakan lawatan rasmi dan sesi perbincangan strategik bersama Majlis Daerah Sik serta Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) bagi meneroka peluang kerjasama dalam memperkasa pembangunan ekonomi komuniti di daerah Sik.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha SOG, UUM untuk memperluas jaringan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi pembangunan wilayah, khususnya dalam aspek pembangunan komuniti yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan sosioekonomi masyarakat melalui pendekatan keusahawanan berasaskan komuniti.

Delegasi UUM telah diketuai oleh Dekan SOG, Prof. Dr. Halimah Abdul Manaf. Kehadiran delegasi ini menjadi platform awal untuk memperkukuh hubungan antara institusi akademik, pihak berkuasa tempatan dan agensi pembangunan dalam membincangkan bentuk kerjasama yang bersesuaian dengan keperluan setempat.
Dalam sesi perbincangan bersama Majlis Daerah Sik, Dr. Halimah berkata, beberapa perkara utama telah dibangkitkan termasuk potensi pelaksanaan program pembangunan ekonomi komuniti, pengenalpastian aset tempatan yang boleh dimanfaatkan, pengukuhan kapasiti keusahawanan dalam kalangan komuniti, serta cadangan pembangunan ekosistem sokongan yang lebih tersusun bagi membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat di daerah Sik.
Menurutnya, pihaknya turut memberi perhatian kepada kepentingan kerjasama rentas institusi dalam memastikan inisiatif pembangunan komuniti dapat dirancang secara lebih berfokus, praktikal dan bersesuaian dengan realiti setempat.
“Pendekatan ini dilihat penting bagi memastikan program yang dirangka bukan sahaja memenuhi keperluan semasa komuniti, malah mempunyai potensi untuk dikembangkan secara lebih mampan pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, sesi perjumpaan bersama KEDA menumpukan kepada potensi kerjasama dalam pelaksanaan inisiatif pembangunan ekonomi komuniti luar bandar secara lebih bersepadu.
Perbincangan ini turut menyentuh keperluan penyelarasan yang lebih baik antara universiti, agensi pembangunan dan pihak berkepentingan tempatan supaya program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan memberi impak yang lebih jelas kepada komuniti sasaran.
Lawatan ini juga membuka ruang kepada perbincangan lanjut berkaitan peluang pelaksanaan program berasaskan komuniti yang melibatkan elemen pembangunan kapasiti, pengukuhan keusahawanan, pembangunan produk, serta penerokaan model kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat setempat di daerah Sik.
Melalui lawatan dan sesi perbincangan ini, SOG melihat kepentingan membina jaringan kerjasama yang lebih rapat dengan pihak berkepentingan di lapangan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh peranan universiti dalam menyokong agenda pembangunan komuniti dan pembangunan ekonomi setempat. – Dr. Rosfaraliza Azura Ramli



