UUM, Perodua meterai kerjasama strategik perkasa mobiliti kampus
Gambar Mohd Fuad Hamid
RAWANG, 19 Mac 2026: Landskap mobiliti kampus di Universiti Utara Malaysia (UUM) bakal mengalami perubahan signifikan menerusi kerjasama strategik bersama Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) yang memfokuskan kepada transformasi gaya hidup warga kampus.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, kerjasama tersebut bukan sahaja tertumpu kepada penyediaan perkhidmatan, malah melibatkan transformasi menyeluruh ekosistem mobiliti kampus.

Menurutnya, antara inisiatif utama termasuk pelaksanaan perkhidmatan kereta sewa bersepadu serta pembangunan aplikasi digital berkonsepkan Super App yang menggabungkan fungsi e-dompet, hiburan dan akses mobiliti.
“Perubahan ini sejajar dengan trend global yang menyaksikan peralihan kepada penggunaan kenderaan elektrik serta konsep mobiliti tanpa pemilikan.
“Generasi muda kini lebih cenderung memilih pendekatan fleksibel melalui konsep ‘mobility as a service’ berbanding memiliki kenderaan sendiri,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan perkhidmatan e-hailing dan pengangkutan awam turut memperkukuhkan perubahan landskap mobiliti masa kini.
Menurutnya, inisiatif ini dilihat sebagai langkah proaktif ke arah mewujudkan sistem mobiliti kampus yang lebih tersusun, pintar dan mesra pengguna, selaras dengan keperluan semasa.
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, isu pengangkutan dan penggunaan kenderaan pelajar merupakan antara cabaran utama yang berterusan dalam pengurusan kampus.
Menurutnya, kewujudan alternatif tidak formal seperti “kereta sapu” mencerminkan keperluan mendesak terhadap sistem mobiliti yang lebih sistematik dan selamat.

“Isu pengangkutan ini bukan perkara baharu dan memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh serta mampan bagi menjamin kesejahteraan warga kampus,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa UUM menghargai komitmen Perodua yang menyalurkan dana berjumlah RM350,000 bagi tempoh lima tahun.
Katanya, dana tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyokong pembangunan pelajar secara holistik, khususnya melalui pendedahan kepada industri dan pemerkasaan aspek kepimpinan.

Selain itu, integrasi teknologi digital Perodua seperti penggunaan platform e-dompet P-Duit dan aplikasi P-Circle dijangka mempercepatkan usaha UUM ke arah merealisasikan konsep kampus pintar (Smart Campus).
“Cadangan penyediaan perkhidmatan kereta sewa serta pusat penyelenggaraan kenderaan di dalam kampus juga merupakan langkah praktikal yang mampu memberi manfaat kepada hampir 30,000 warga universiti.
“Ketika ini, dianggarkan lebih 3,500 kenderaan berada dalam kawasan kampus UUM,” katanya,” katanya.
Beliau berkata, kehadiran ekosistem Perodua di kampus Sintok dijangka mewujudkan persekitaran yang lebih dinamik dan moden.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyentuh situasi global semasa yang menyaksikan peningkatan permintaan terhadap kenderaan kecil berikutan faktor penjimatan bahan api dan kos sara hidup.
Terdahulu, majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UUM dan Perodua berlangsung di Bangunan Korporat Perodua, di sini, dengan disaksikan oleh wakil kedua-dua pihak.
Kerjasama strategik ini berpotensi meletakkan UUM sebagai perintis kepada pelaksanaan konsep mobiliti sebagai gaya hidup dalam kalangan institusi pengajian tinggi di negara ini.



