Uncategorized

Datuk Prof. Norazah kongsi “Kisah Inspirasi Saintis Wanita Malaysia” di Wanita Hari Ini TV3

Berita dan gambar oleh Datuk Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki

KUALA LUMPUR, 19 Mac 2026: Datuk Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki, wanita Malaysia pertama yang diiktiraf sebagai saintis terkemuka dunia selama tujuh tahun berturut-turut, tampil dalam segmen Kisah Inspirasi Saintis Wanita Malaysia menerusi program Wanita Hari Ini terbitan TV3 bagi berkongsi perjalanan hidup dan pencapaiannya.

Datuk Prof. Norazah, yang juga Profesor Pemasaran dan E-Dagang serta Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Universiti Utara Malaysia (UUM), berkata wanita mampu menembusi pelbagai batasan dan memberi sumbangan besar kepada masyarakat serta negara apabila diberi peluang dan sokongan sewajarnya.

Beliau tersenarai dalam World’s Top 2% Scientists sejak pengiktirafan itu diperkenalkan oleh Universiti Stanford dan Elsevier pada 2019. Kini, beliau berada di kedudukan ke-167 dunia dalam bidang Perniagaan dan Pengurusan serta ke-5,173 keseluruhan dalam kalangan 100,000 saintis berimpak tinggi di seluruh dunia.

Penampilan beliau dalam program itu turut menyerlahkan kepentingan pendidikan, ketekunan, disiplin dan keberanian dalam menempuh cabaran sepanjang perjalanan akademik serta kerjaya profesional.

Kejayaan Datuk Prof. Norazah meletakkan beliau dalam kalangan tokoh akademik terkemuka negara, sekali gus membuktikan peranan wanita yang semakin menyerlah dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Penampilan beliau di platform televisyen arus perdana itu juga meningkatkan keterlihatan Universiti Utara Malaysia di peringkat nasional dan antarabangsa.

Program berkenaan diharap dapat meningkatkan penghargaan terhadap sumbangan wanita dalam pembangunan ilmu, penyelidikan dan inovasi, di samping mendorong lebih ramai wanita muda untuk mengejar kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button