Campus

Program Outreach AI Pocket Kaunseling beri pendedahan penggunaan AI

Gambar Pusat Kaunseling

SINTOK, 26 Mac 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan agenda kesejahteraan kampus melalui penganjuran Program Outreach AI Pocket Kaunseling yang berlangsung di Dewan Bunga Raya, Inapan Siswa (Inasis) MAS dengan kehadiran seramai 211 pelajar Asasi.

Pegawai Psikologi, Noorul ‘Adilah Che Hamzah berkata, program ini merupakan inisiatif dari Pusat Kaunseling untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar berkaitan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam menyokong kesejahteraan emosi serta pengurusan kendiri secara lebih sistematik dan responsif.

Menurutnya, rentetan dari AI Pocket Kaunseling yang telah dilancarkan pada bulan Oktober 2025, kini Pusat Kaunseling bergerak aktif untuk membantu pelajar memanfaatkan AI Pocket Kaunseling.

Program dimulakan dengan pengenalan barisan kaunselor pelatih kepada pelajar asasi. Sesi ice-breaking yang dikendalikan sepenuhnya oleh kaunselor pelatih berjaya mewujudkan suasana interaksi yang lebih terbuka dan kondusif.

Aktiviti pertama dilaksanakan melalui pendekatan komunikasi santai bagi menarik perhatian peserta, manakala aktiviti kedua melibatkan pergerakan fizikal berpandukan paparan di skrin utama dewan, sekali gus meningkatkan penglibatan aktif dalam kalangan pelajar.

Pengisian utama program diteruskan dengan sesi ceramah oleh Mohammad Allif Mohd Rozi yang memberi penerangan berkaitan fungsi dan penggunaan aplikasi AI Pocket.

Perkongsian ini memberi gambaran jelas tentang potensi AI sebagai medium sokongan awal dalam mengenal pasti tekanan, kebimbangan serta isu kesejahteraan mental dalam kalangan mahasiswa. Pendekatan ini selari dengan usaha memperkukuh sistem sokongan psikologi berteraskan teknologi digital di peringkat universiti.

Dalam perkhidmatan kaunseling, sokongan awal adalah sangat penting terutamanya klien yang mempunyai isu kesihatan mental. Sokongan awal adalah bertujuan untuk menenangkan klien serta memberi ruang kepada klien untuk meluahkan perasaan.

Dalam pada itu, AI Pocket Kaunseling telah digunakan oleh seramai 2,599 pelajar sejak ia dilancarkan. Sistem chatbot di dalam AI Pocket Kaunseling dapat mengenal pasti corak kebimbangan, tekanan atau kemurungan melalui analisis teks. Respons adalah secara automatik dan bersifat empatik. Sistem chatbot juga dapat mengesyorkan tindakan awal seperti meluahkan perasaan, teknik pengurusan tekanan dan lain-lain.

Penganjuran Program Outreach AI Pocket ini mencerminkan komitmen berterusan Pusat Kaunseling UUM dalam memperkasakan literasi digital serta meneroka inovasi teknologi sebagai pelengkap kepada sistem sokongan emosi sedia ada.

Inisiatif seumpama ini dilihat berpotensi memperkukuh daya tahan psikologi pelajar dan menyokong pembangunan mahasiswa yang lebih seimbang dari segi akademik serta kesejahteraan diri. – Nur Faten Badriah Abdul Latib (Kaunselor Pelatih Pusat Kaunseling)

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button