Education

UUM perkukuh hubungan kerjasama dengan JKKP Kedah

Gambar Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP)

ALOR SETAR, 30 Mac 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Bahagian Pengurusan Risiko (RMD) telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Kedah di Wisma Persekutuan Anak Bukit sebagai usaha memperkukuhkan kerjasama strategik dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).

Delegasi UUM diketuai oleh Pengarah RMD, Prof. Madya Dr. Rohana Abdul Rahman dan disambut oleh Pengarah JKKP Kedah, Ir. Abdul Aziz Salim bersama pegawai-pegawai kanan jabatan.

Dr. Rohana berkata, kunjungan ini merupakan kesinambungan kepada pertemuan terdahulu yang mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuhkan budaya kerja selamat dan sihat di peringkat negeri serta institusi pengajian tinggi.

Dalam sesi tersebut, Pengarah RMD turut menyampaikan taklimat ringkas mengenai fungsi dan peranan RMD di UUM, khususnya dalam mengurus aspek KKP di kampus.

“UUM komited untuk terus mempererat hubungan strategik bersama JKKP Kedah dalam memperkasa amalan KKP secara holistik.

“Kerjasama ini menjadi platform penting untuk memperluas perkongsian kepakaran, meningkatkan keupayaan profesional sejajar dengan fungsi RMD iaitu mengurus risiko dan KKP di UUM,” katanya.

Sesi perbincangan turut memberi tumpuan kepada aspek pematuhan perundangan, pembangunan kompetensi serta pengurusan risiko secara sistematik dan bersepadu selaras dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan pindaan terkini.

Sementara itu, Ir. Abdul Aziz Salim berkata, UUM merupakan antara peneraju dalam bidang KKP di Kedah berdasarkan pengiktirafan pada tahun-tahun sebelum ini. Justeru itu pihak JKKP melihat UUM sebagai rakan strategik yang berpotensi besar dalam memajukan amalan KKP di negeri ini.

“Saya berhasrat agar UUM dapat mengulangi pencapaian dalam anugerah KKP peringkat kebangsaaan di bawah kepimpinan Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed selaku Naib Canselor,” katanya.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk meneruskan kerjasama melalui pelaksanaan program penganjuran Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan peringkat negeri pada tahun 2026, susulan kejayaan pelaksanaannya pada tahun 2025.

Untuk tujuan itu, beliau menzahirkan hasrat untuk mengadakan kunjungan hormat kepada Naib Canselor UUM sebagai usaha memperkukuh hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak.

Kunjungan ini di akhiri dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderamata sebagai simbolik hubungan kerjasama yang terjalin. – Nurulwajhi Yahaya

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button