Campus

739 ahli KRS dan TKRS zon utara imarahkan Masjid Sultan Badlishah sebagai destinasi ibadah

Gambar Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan Pusat Islam UUM

SINTOK, 6 April 2026: Seramai 739 peserta yang terdiri daripada ahli Kadet Remaja Sekolah Malaysia (KRS) dan Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) daripada 176 buah sekolah rendah dan menengah melibatkan Negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak telah menyertai Kem Smart Ramadan 8.0 Peringkat Kebangsaan Tahun 2026, baru-baru ini.

Penganjuran ini secara tidak langsung telah merealisasikan aspirasi menjadikan Masjid Sultan Badlishah sebagai Destinasi Ibadah Ramadan 1447H/2026M yang unggul dan berimpak tinggi.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Pusat Islam UUM dalam memperkasakan fungsi masjid sebagai pusat pembangunan sahsiah, penghayatan ilmu dan pengimarahan Ramadan secara menyeluruh.

Program berprestij ini merupakan hasil jalinan kolaborasi strategik antara Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Pasu, Pusat Islam UUM dan Pertubuhan Dakwah Islamiah Sekolah Sekolah Malaysia (PEKDIS) Kubang Pasu.

Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md. Sabri menzahirkan penghargaan kepada JPN Kedah atas kepercayaan yang diberikan kepada UUM sebagai tuan rumah penganjuran.

“Program seperti ini merupakan pemangkin penting dalam usaha memperkukuhkan peranan Masjid UUM sebagai hab rujukan hal ehwal Islam yang inklusif dan dinamik.

“Penganjuran berskala besar ini bukan sahaja memberi impak signifikan terhadap pembangunan sahsiah peserta, bahkan turut memperkasa ekosistem pengimarahan masjid di peringkat universiti,” katanya.

Mohd Yusnaidi berkata, program ini memperlihatkan sinergi kukuh antara institusi pendidikan dan komuniti dalam memperkasakan agenda pembangunan rohani generasi muda.

Menruutnya, kehadiran mereka bukan sahaja menghidupkan suasana Ramadan di kampus, malah memperlihatkan minat dan komitmen tinggi pelajar dalam mendalami penghayatan Islam di luar bilik darjah.

Sepanjang penganjuran, pengisian rohani disusun secara holistik dan berimpak, merangkumi pelaksanaan Tadarus al-Quran dalam tiga slot utama dengan sasaran khatam 30 juzuk, pertandingan hafazan serta azan dan iqamah bagi mencungkil bakat dan keyakinan diri peserta.

Program Tahsin al-Quran turut diperkasakan melalui bimbingan khusus oleh Sharif Abdus Salam Saad. Selain itu, aktiviti qiamullail, solat berjemaah termasuk tarawih, kuliah dhuha dan pelbagai pengisian kerohanian lain berjaya membudayakan disiplin ibadah secara konsisten dalam kalangan peserta.

Persekitaran Masjid Sultan Badlishah UUM yang kondusif dan berdaya sokong tinggi telah menyediakan pengalaman Ramadan yang autentik kepada peserta, sekali gus mengangkat peranan masjid sebagai pusat pembinaan jati diri dan pengukuhan nilai spiritual dalam suasana universiti.

Majlis Perasmian Penutup yang berlangsung dengan penuh istiadat telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Abdul Rahim Mat, disusuli dengan Majlis Khatam al-Quran sebagai simbolik kejayaan pengisian program.

Secara keseluruhannya, penganjuran kem ini berjaya menjadi manifestasi nyata kepada usaha merealisasikan Masjid UUM sebagai Destinasi Ibadah Ramadan, di samping melahirkan generasi pelajar yang seimbang dari aspek kecemerlangan akademik dan kekuatan sahsiah. – Mohd. Firdaus Ahmat

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button