Education

UUM perkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Berita dan gambar Dr. Sharif Shofirun Sharif Ali

PULAU PINNAG, 7 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan jaringan strategik dengan sektor kerajaan melalui sesi kunjung hormat dan taklimat program akademik bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang berlangsung pada 3 April lalu.

Program ini membincangkan potensi penyelidikan dan penyelarasan cadangan program akademik pascasiswazah yang ditawarkan oleh UUM, khususnya dalam bidang pengurusan, pembangunan dan pentadbiran awam.

Delegasi UUM diketuai oleh Dekan Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Prof. Dr. Halimah Abdul Manaf dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Dr. Sharif Shofirun Sharif Ali serta wakil daripada Jabatan Hal Ehwal Akademik, OYAGSB, Pusat Alumni UUM dan Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE).

Sesi ini turut disertai oleh pegawai kanan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang antaranya Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), pegawai Bahagian Pengurusan Sumber Manusia serta wakil Unit Komunikasi Korporat dan Inovasi.

Dr. Halimah berkata, pertemuan ini membuka ruang kepada kerjasama lebih erat dalam pembangunan modal insan sektor awam, khususnya melalui program akademik pascasiswazah yang relevan dengan keperluan semasa pentadbiran negeri.

Taklimat berkaitan akademik juga diadakan merangkumi penerangan berkaitan program akademik pascasiswazah UUM yang disampaikan oleh Pengerusi Program Pascasiswazah SoG, Pengarah Akademik OYAGSB dan PACE.

Taklimat ini juga memberi fokus kepada peluang kakitangan di Pejabat SUK Pulau Pinang untuk program pascasiswazah dalam bidang dasar awam, tadbir urus, kepimpinan sektor awam dan lain-lain bidang yang ditawarkan di UUM.  Selain itu, warga SUK Pulau Pinang juga didedahkan dengan peluang untuk menyambung pengajian secara sepenuh masa, separuh masa dan open distance learning (ODL).

Program diakhiri dengan sesi soal jawab interaktif yang memberi peluang kepada peserta mendapatkan penjelasan lanjut mengenai syarat kemasukan, mod pengajian serta prospek kerjaya.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam menyokong agenda pembangunan modal insan negara melalui kerjasama strategik bersama kerajaan negeri selari dengan keperluan memperkasa kecekapan dan profesionalisme penjawat awam dalam menghadapi cabaran pentadbiran masa kini.

Kerjasama ini dijangka membuka lebih banyak peluang kepada penjawat awam untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sekaligus meningkatkan kualiti perkhidmatan awam di negeri Pulau Pinang.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button