Campus

SOE mantapkan pengurusan 2026 dengan penubuhan jawatankuasa baharu 

Gambar Pusat Pengajian Pendidikan

SINTOK, 8 April 2026: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan Majlis Penyerahan Surat Lantikan Pengurus Jawatankuasa Pusat Pengajian Pendidikan Tahun 2026 sebagai satu platform bagi memastikan kelangsungan pengurusan serta penyelarasan tugas secara teratur dan sistematik.

Dekannya, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Pengurus Jawatankuasa Pusat Pengajian sesi 2025 atas komitmen, dedikasi serta sumbangan yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan.

Dr. Mohamad Khairi turut menzahirkan keyakinan bahawa barisan Pengurus Jawatankuasa Pusat Pengajian 2026 akan meneruskan kecemerlangan pengurusan SOE melalui perancangan yang lebih strategik dan pelaksanaan program yang memberi impak kepada pusat pengajian.

Majlis ini turut menjadi ruang memperkukuhkan kerjasama dan komunikasi serta memperjelas skop tanggungjawab jawatankuasa agar setiap peranan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Penyerahan tugas ini juga selari dengan usaha SOE dalam memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan keberkesanan pengurusan akademik serta pentadbiran pusat pengajian.

Selain itu, SOE turut mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan dua jawatankuasa baharu bagi memperkukuhkan tadbir urus serta memperkasa pembangunan strategik pusat pengajian. Jawatankuasa baharu tersebut ialah Jawatankuasa Abstrak dan Jawatankuasa Asas Pendidikan, Profesional dan SULAM.

Penubuhan kedua-dua jawatankuasa ini adalah selari dengan usaha berterusan SOE dalam meningkatkan keberkesanan pengurusan dan penyelarasan program akademik, memperkukuhkan kompetensi serta profesionalisme warga kerja, di samping memperkasakan aspek asas pendidikan sebagai tunjang kepada kecemerlangan akademik dan pembangunan holistik pusat pengajian. – Hasliza Shafie

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button