Syarikat spin-off UUM wakil ke Persidangan PPRN
Berita dan gambar Khairil Azfar Ahmad Zubir
KUALA LUMPUR, 14 April 2026: Dua syarikat spin-off Universiti Utara Malaysia (UUM) iaitu EDUMi Sdn. Bhd. dan ODA Ventures Sdn. Bhd. telah dijemput menyertai Persidangan Public-Private Research Network (PPRN) anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung di Wyndham Grand Bangsar, baru-baru ini.

Persidangan ini telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Setiausaha (KSU) KPT dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, bersama-sama wakil universiti awam, universiti swasta, dan pemain industri.
Sepanjang persidangan ini, peserta telah disajikan dengan beberapa sesi perkongsian yang padat dan berinformasi, termasuk pembentangan daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang menekankan kepentingan perlindungan harta intelek dalam penyelidikan dan inisiatif-inisiatif baharu yang ditawarkan untuk membantu ekosistem pengkomersialan.

Selain itu, turut diketengahkan perkongsian kisah kejayaan daripada penerima geran PPRN terdahulu yang telah berjaya mentransformasikan hasil penyelidikan kepada penyelesaian industri sebenar.
Sesi ini memberi inspirasi kepada para penyelidik dan rakan industri untuk terus memanfaatkan peluang yang ditawarkan melalui inisiatif PPRN.
UUM turut hadir ke persidangan ini yang diwakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad dan Khairil Azfar Ahmad Zubir dari Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC).



