Pesta Buku Utara 2026 (PBU2026) kembali meriahkan dunia buku
Berita dan gambar Mohammad Amzari Bakri
SINTOK, 14 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui UUM Press sekali lagi bakal menjadi tumpuan ulat buku dan pencinta ilmu dengan penganjuran acara tahunan yang dinanti-nantikan, Pesta Buku Utara 2026 (PBU26).
Bertemakan “Warisan Ilmu, Menyulam Peradaban”, pesta buku gilang-gemilang ini akan berlangsung selama lima hari bermula 25 April hingga 29 April 2026 di Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM, bermula dari jam 9.00 pagi sehingga 6.00 petang.

Acara ini dianjurkan dengan kerjasama Perpustakaan Sultanah Bahiyah serta mendapat sokongan penuh daripada Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) dan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA).
Menariknya pada edisi kali ini, PBU26 telah berjaya menghimpunkan penyertaan berskala besar dengan 40 pempamer yang akan memeriahkan suasana. Pengunjung berpeluang meneroka pelbagai reruai yang terdiri daripada penerbit-penerbit ilmiah di bawah naungan MAPIM, syarikat-syarikat penerbitan dan pengedar buku bebas, serta rangkaian kedai buku terkemuka, Popular.
Tidak ketinggalan, terdapat juga reruai istimewa yang mempamerkan dan menjual hasil seni oleh Kraftangan Malaysia, menjadikan pameran kali ini lebih pelbagai dan merangkumi sokongan terhadap industri seni budaya tempatan.
Selain daripada tawaran jualan buku dengan diskaun yang hebat, pihak penganjur turut menyusun pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk segenap lapisan masyarakat sepanjang minggu tersebut. Acara akan dirasmikan secara gilang-gemilang melalui Majlis Perasmian PBU 2026 pada 27 April jam 2.30 petang di Pentas Utama PBU.
Bagi mereka yang merindui nostalgia zaman kanak-kanak, ruang “Lepak & Main: Edisi Kampung” menyediakan permainan tradisional seperti Congkak, Batu Tujuh, Sepak Bulu Ayam, dan Dam Ular. Turut dianjurkan pelbagai pertandingan untuk mengasah bakat seperti Pertandingan Mewarna Batik Canting, Pertandingan Bercerita (Sekolah Rendah Tahap 2), dan Pertandingan Deklamasi Sajak (Terbuka).

Acara ini tidak meminggirkan elemen intelektual dengan pengisian program dan bengkel akademik seperti Bengkel Pangkalan Data Akademik Berimpak Tinggi, Bicara Editor mengenai peluang kerjaya penerbitan, Bicara Muzium Bersama Dr. Maulana, dan Sesi Telaah Siswa.
Bagi pengunjung yang ingin menjamu selera atau mencari barangan tempatan, Pasar Lokal @ Laman Niaga PBU26 yang beroperasi dari jam 8:30 pagi hingga 10:00 malam di Dataran Perdana UUM pastinya menjadi destinasi pilihan. Penganjur juga amat prihatin terhadap kemudahan pengunjung dengan menyediakan kaunter bergerak membabitkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan Tabung Haji, di samping Program Menderma Darah bagi mereka yang ingin melakukan amal jariah.
Orang ramai, terutamanya warga Utara dan pelajar institusi pengajian tinggi, dijemput hadir beramai-ramai bagi menyokong industri pembacaan dan penerbitan negara.
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini mengenai setiap slot aktiviti, orang ramai boleh mengikuti laman media sosial rasmi UUM Press di platform Facebook, Instagram, Twitter, Telegram, dan TikTok melalui carian @uumpress. Jom sama-sama kita meriahkan PBU26!



