Perbincangan Strategik SLCP dan MAIPs bagi Penganjuran Seminar Islam dan Kelestarian Ummah 2026 (SIDKUN ’26)
Gambar Dr. Mohd Ammyrul Ashraf Sairan
PERLIS, 15 April 2026: Satu sesi perbincangan strategik telah diadakan antara wakil Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) dengan pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di pejabat MAIPs, Kangar bagi membincangkan penganjuran dan penajaan Seminar SIDKUN yang dijadualkan berlangsung pada 18 dan 19 Oktober tahun ini.
Delegasi SLCP diwakili oleh Pengarah SIDKUN, Dr. Mohd Zulfahmi Mohamad; Setiausaha SIDKUN, Dr. Mohd Ammyrul Ashraf Sairan dan Ketua Jawatankuasa Hubungan Industri, Pengantarabangsaan dan Penajaan SIDKUN, Prof. Madya Dr. Mohd Akram Dato’ Dahaman@Dahlan, manakala MAIPs diwakili oleh Pegawai Tadbir, Nor Hayati Ramli.

Dr. Mohd Zulfahmi berkata, antara perkara utama yang dibincangkan termasuklah pengisian program, penajaan seminar, serta bentuk kerjasama yang boleh dijalinkan antara kedua-dua pihak.
Menurutnya, Seminar SIDKUN ‘26 dijangka menjadi platform penting dalam memperkasakan wacana ilmu, khususnya dalam bidang berkaitan Pengajian Islam dalam kecerdasan buatan.
Selain itu, kedua-dua pihak turut menyatakan komitmen untuk memastikan seminar ini dapat dilaksanakan dengan jayanya melalui perancangan yang rapi dan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.
Kerjasama ini juga dilihat mampu memberi impak positif kepada pembangunan ilmu, pengukuhan jaringan dan sektor pelancongan negeri Perlis.
Perbincangan ini diakhiri dengan persetujuan awal untuk meneruskan perancangan secara lebih terperinci dalam masa terdekat bagi memastikan kelancaran penganjuran Seminar SIDKUN pada Oktober nanti. – Che Hasniah Ya’acob



