Bakat bakal peguam muda terserlah dalam Pertandingan Mahkamah Mut Dalaman Dato’ Seri Hashim Hamzah
Gambar Ahli Jawatankuasa Unit Advokasi dan Moot
SINTOK, 19 April 2026: Bakat baharu dalam bidang perundangan terus menyerlah apabila peserta Pertandingan Mahkamah Mut Dalaman Dato’ Seri Hashim Hamzah Kali Ke-6 membuktikan keupayaan mereka melalui saringan ketat oleh pengamal undang-undang profesional sebelum dinilai di peringkat akhir oleh Yang Arif Dr. John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee, Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah merangkap Profesor Adjung Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pertandingan yang berlangsung dari 10 hingga 11 April ini menyaksikan pelajar diuji melalui pusingan awal dan separuh akhir yang diadili oleh seramai 13 peguam daripada firma terkemuka termasuk Xavier & Koh Partnership, Ghazi & Lim, Messrs Arief & Iskandar, Zaid Ibrahim & Co, Skrine, Azmi & Associates, Wong & Loh, MahWengKwai & Associates serta Tan & Khong Chambers.
Penilaian berterusan di peringkat separuh akhir turut melibatkan enam peguam daripada Leon & Partners, Shearn Delamore & Co., MahWengKwai & Associates serta Azmi & Associates, sekali gus memastikan hanya peserta terbaik mara ke pentas akhir.
Edisi kali ini yang bertemakan “Undang-Undang Air dan Undang-Undang Perlembagaan” menuntut peserta mengupas isu perundangan yang kompleks dan dinamik, sekali gus memperlihatkan keupayaan analisis, penghujahan serta komunikasi yang matang.

Pasukan 6001 yang diwakili oleh Amirah Farhanah Khairil Faisal, Jessrina Raj Kaur Dhillon dan Shuweta Perumal telah dinobatkan sebagai johan keseluruhan selepas mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang pertandingan. Shuweta Perumal turut meraih anugerah penyampai lisan terbaik.
Naib johan dimenangi oleh pasukan 6002 yang terdiri daripada Soh Shan Ming, Ng Yu Xuan dan Olivia Wong Kinn Teng, manakala anugerah penulisan hujahan terbaik dimenangi oleh pasukan 6004 yang diwakili oleh Aireel Mikael Zaidi, Lim Jia Yuan dan Lisshrina Subramaniam.
Pertandingan berprestij ini merupakan acara tahunan anjuran Unit Advokasi dan Mut, Persatuan Pelajar Undang-Undang UUM yang diketuai oleh Yew Wei Qian sebagai medan mencungkil dan menggilap bakat peguam muda dalam seni advokasi, pertandingan ini turut menjadi pentas awal yang mencabar bagi peserta baharu membina keyakinan, ketajaman hujah serta daya fikir kritikal sebelum melangkah ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa. – Yew Wei Qian dan Dr. Nur Syaedah Kamis



