Gergasi industri tayar China pilih UUM
Peluang kerjaya global dan kolaborasi strategik dibuka di Kedah Rubber City
Berita dan gambar Dr. Zuliana Azwa Zulkifli
PADANG TERAP, 19 April 2026: Satu langkah strategik berimpak tinggi dalam memperkukuhkan hubungan universiti-industri telah dimeterai apabila delegasi daripada Pusat Kerjasama Universiti–Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) dijemput menghadiri sesi mesyuarat eksklusif bersama Prinx Tyre (Malaysia) Sdn. Bhd di Kedah Rubber City (KRC) pada Jumaat lalu.

Delegasi UUM yang diwakili oleh Penyelaras Latihan Industri UUM COLGIS, Dr. Zuliana Azwa Zulkifli bersama Penyelaras Latihan Industri UUM COB, Dr. Safwan Marwin Murad dan Penyelaras Latihan Industri UUM CAS, Dr. Nuramalina Mohd Na’in telah mengadakan perbincangan berfokus terhadap potensi kolaborasi strategik melibatkan pembangunan bakat, peluang kerjaya, serta program akademik lanjutan.
Syarikat ini merupakan anak syarikat kepada Prinx Chengshan, sebuah syarikat berpangkalan di China yang ditubuhkan pada tahun 1976 dan kini tersenarai sebagai antara lima pengeluar tayar terbesar di negara tersebut. Kehadiran mereka di Malaysia melalui Kedah Rubber City mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap ekosistem industri tempatan.
Dr. Zuliana berkata, antara fokus utama perbincangan adalah pembukaan peluang pekerjaan segera kepada graduan UUM, khususnya dalam bidang Sumber Manusia (HR), Kewangan, dan Logistik, sejajar dengan keperluan industri global masa kini.

Selain itu, menurutnya, program latihan industri (internship) dijangka akan bermula seawal November 2026, sekali gus menyediakan platform pendedahan awal kepada pelajar dalam persekitaran industri bertaraf antarabangsa.
Lebih signifikan, pihak Prinx Tyre Malaysia turut menyatakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama akademik dengan UUM bagi membolehkan pengurusan tertinggi syarikat melanjutkan pengajian dalam bidang strategik seperti HR, Kewangan dan Logistik, menjadikan UUM sebagai rakan institusi pilihan dalam pembangunan kepimpinan korporat.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Pengurus Besar Princ Chengshen, Mr. Cao Kai; Ketua Kumpulan Bahagian Pengambilan, Miss Xing Ru yang juga merupakan alumni UUM bagi program Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa (INTAFF) dan Ms. Sylvia Nie.
Kolaborasi ini dilihat sebagai pemangkin penting dalam merapatkan jurang antara akademia dan industri, selari dengan aspirasi UUM untuk melahirkan graduan berdaya saing global serta memperkukuh kedudukan universiti sebagai peneraju dalam kerjasama strategik universiti-industri.



