Yayasan Hasanah sumbang RM10,000 rai komuniti Pulau Tuba
Gambar Koleksi Team SE-Budi Hasanah
PULAU TUBA, 19 April 2026: Yayasan Hasanah (Yayasan milik Khazanah Nasional) telah menyumbangkan RM10,000 bagi menyokong sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama komuniti Pulau Tuba melalui inisiatif Program SE-Budi Raya Hasanah.
Kunjungan istimewa ini disertai oleh delegasi tinggi Yayasan Hasanah yang diketuai oleh Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki. Turut hadir ialah Ketua Bahagian Perkongsian Strategik, Yang Mulia Raja Nor Dianna Raja Harun; Pengarah Kanan Unit Pendidikan, Dr. Nur Anuar Abdul Muthalib dan Pengurus Kanan Unit Pendidikan, Anuar Jaafar.

Selain sumbangan daripada Yayasan Hasanah, Koperasi Kepulauan Tuba dan Selat (BESTUBA) turut menyumbang RM10,000 bagi menjayakan kemeriahan sambutan hari raya komuniti.
Program SE-Budi Raya Hasanah kali ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Sobri Don A. Wahab, Pengurus Besar UUM Leads Sdn. Bhd., yang telah memberikan sokongan penuh sejak awal pelaksanaan Program SE-Budi Hasanah.
Program ini telah menerima dana keseluruhan sebanyak RM361,000 daripada Yayasan Hasanah bagi memperkasakan 241 pelajar sekolah menengah dalam penguasaan Bahasa Inggeris dan memupuk elemen keusahawanan sosial di ekosistem sekolah dan komuniti setempat.
Ketua Projek SE-Budi Hasanah, Fatin Athirah Fadzillah melahirkan rasa syukur yang mendalam atas kunjungan dan sokongan Yayasan Hasanah.

“Kami amat bersyukur kerana projek dan komuniti Pulau Tuba telah terpilih untuk mendapat ziarah daripada pihak Yayasan Hasanah.
“Kerjasama yang telah terjalin sekian lama dengan BESTUBA dan pihak SMK Langkawi, Tuba kini semakin mengeratkan hubungan kekeluargaan antara universiti, komuniti dan pihak penaja program,” katanya.
Dalam sesi perbincangan meja bulat yang diadakan, Yayasan Hasanah meluangkan masa bagi mendengar secara langsung inti pati dan suara sebenar daripada masyarakat serta penggiat komuniti yang turun padang.
Perbincangan ini membolehkan pihak Yayasan Hasanah memahami dengan lebih mendalam keperluan sebenar komuniti Pulau Tuba, seterusnya membuka ruang untuk kerjasama yang lebih strategik dan holistik pada masa hadapan.

Turut hadir dalam sesi perbincangan meja bulat ialah jemputan khas yang terdiri daripada Encik Fazlan Mohd Nor dan Puan Mahyon Mashor dari BESTUBA; Encik Andy Bachtiar dari UUM Leads Sdn Bhd; Dr. Chew Yen Seng, CEO Chumbaka, Pulau Pinang; Cik Bahiyah Md Idris, Pengarah Unifilm UUM; Dr. Hasnizam Hasan dari Institut Kelestarian Perniagaan dan Komuniti (IBCSI), SBM UUM; Encik Zainuddin Ali, Pengarah Zecdin Training & Consultancy; Encik Ahmad Tawfik Abdullah yang mewakili Pengetua dan Penyelaras Program SE-Budi Hasanah, SMK Langkawi, Tuba; Puan Azalina Mansor, Penyelaras Parlimen APPGM-SDG, Langkawi; serta Puan Suzana Md Noh, Persatuan LAWA (SP) dan Manager Baron Group.
Team SE-Budi Hasanah diketuai oleh Muhammad Ishaq Hajah Alavudin dan diselaraskan bersama Nurul Syafiqah Baidrulhisam, Liza Steven, Dhia Awatif, Krishna Poobalan, Wiyandha Keysha Dharmawan, Praven Ravi Chandran dan Henry Saw Tern Lee.
Di pihak BESTUBA yang turut menyumbang RM10,000, Pengerusi Mohd Fazlan Nor dan Puan Mahyon Mashor telah mengemudi perbincangan meja bulat bagi pihak komuniti Pulau Tuba.

Fatin Athirah, yang juga merupakan Guru Bahasa Kanan di Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) berkata, Program SE-Budi Hasanah mendapat sokongan kurikulum yang kukuh daripada Prof. Dr. Nurahimah Yusoff dan Prof. Madya Dr. Muhammad Noor Abdul Aziz dari Pusat Pengajian Pendidikan (SoE) yang bertindak sebagai pakar rujuk kurikulum juga merupakan penyelia kursus kedoktoran beliau.
“Elemen Bahasa Inggeris digabungkan dengan Keusahawanan Sosial bagi membentuk generasi muda Pulau Tuba sebagai agen perubahan sosial yang mampu memberi impak positif dan berkekalan kepada komuniti mereka,” katanya.
Program ini bukan sahaja meraikan sambutan Hari Raya secara inklusif, malah menjadi platform penting untuk memperkukuhkan hubungan antara universiti, komuniti Pulau Tuba dan pihak penderma demi masa depan yang lebih cerah bagi generasi muda di pulau tersebut. – Nurul Syafiqah Baidrulhisam (Pelajar Semester 2, SE-Budi Hasanah)



