UUM perkasa peserta Projek Tanaman Cendawan melalui Bengkel Kewangan
Berita dan gambar Dr. Nur Shuhamin Nazuri
SINTOK, 19 April 2026: Seramai 13 peserta Projek Tanaman Cendawan di bawah Program Pendayaan Komuniti@UniMADANI yang dilaksanakan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menghadiri Bengkel Kewangan Peserta Projek Tanaman Cendawan yang diadakan pada 7 April 2026 di EDC UUM.
Projek ini diketuai oleh Dr. Nur Shuhamin Nazuri bersama enam ahli penyelidik dari UUM dilaksanakan selama setahun bermula dari Mei 2025 sehingga April 2026 bagi memberi latihan, pemantauan dan bimbingan berterusan.

Dr. Nur Shuhamin berkata, bengkel ini dianjurkan bagi memperkukuhkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam aspek pengurusan kewangan perusahaan supaya aktiviti penanaman cendawan yang diusahakan dapat terus berkembang secara lebih tersusun, berdaya maju dan mampan.
Peserta terdiri daripada suri rumah, usahawan kecil dan komuniti B40 di Kubang Pasu. Sebelum ini, peserta telah mengikuti pelbagai latihan dan bimbingan berkaitan teknik penanaman cendawan, pengurusan hasil serta kawalan kualiti yang dikendalikan oleh penyelidik daripada UUM. Melalui penglibatan aktif dalam projek ini, peserta bukan sahaja memperoleh kemahiran pertanian, malah berjaya menjadikan tanaman cendawan sebagai salah satu sumber pendapatan tambahan keluarga.
Penganjuran bengkel kewangan ini merupakan satu langkah penting dalam memastikan peserta bukan sahaja mahir dalam aspek pengeluaran hasil, tetapi juga cekap mengurus kewangan perusahaan.

Sepanjang bengkel berlangsung, peserta didedahkan kepada kaedah merekod pendapatan dan perbelanjaan, mengenal pasti kos pengeluaran, mengira keuntungan serta merancang aliran tunai. Pengetahuan ini amat penting bagi membantu peserta membuat keputusan yang lebih tepat dan strategik dalam mengurus perusahaan masing-masing.
Menariknya, peserta projek juga kreatif dalam mempelbagaikan hasil tanaman cendawan dengan menghasilkan produk nilai tambah berasaskan cendawan. Antara produk yang telah diusahakan ialah serunding cendawan dan pekasam cendawan, yang berpotensi untuk dipasarkan dengan lebih meluas.
Secara keseluruhannya, bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam memperkasa komuniti melalui Program Pendayaan Komuniti@UniMADANI sekali gus menyokong penjanaan pendapatan yang mampan dan berterusan.



