OYAGSB perkukuh agenda penyelidikan menerusi jerayawara TNC (P&I)
Gambar OYAGSB
SINTOK, 20 April 2026: Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) terus memperkukuhkan agenda penyelidikan, pembangunan dan inovasinya menerusi program jerayawara yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad.
Dalam ucapannya, Dr. Ram menekankan kepentingan membudayakan semangat kerja berpasukan berteraskan prinsip “we before me”, di samping menyeru seluruh warga OYAGSB agar bergerak secara kolektif ke arah pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

“Jika kita jatuh, kita jatuh bersama; jika kita bangkit, kita bangkit bersama,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Pusat Pengurusan Penyelidikan sedang meneliti cadangan untuk menaikkan insentif bagi penerbitan dalam jurnal Q1 berindeks Scopus daripada RM2,500 kepada RM5,000 sebagai sebahagian daripada usaha menggalakkan penghasilan penyelidikan berimpak tinggi.
Sementara itu, Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Hasnizam Shaari mengumumkan penubuhan dua kumpulan penyelidikan (RG) baharu, iaitu Digital Economy, Finance and Analytics serta Leadership, Innovation and Market Behavior sejajar dengan strategi pusat pengajian berkenaan untuk memperkukuh penyelidikan berimpak tinggi.

Mengulas lanjut, Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi, Prof. Dr. Nor Idayu Mahat, menjelaskan bahawa RG tersebut akan berfungsi sebagai sistem sokongan bagi membolehkan semua ahli akademik menyumbang secara efektif tanpa tekanan KPI individu yang terlalu ketat.
Bagi memulakan pelaksanaan, setiap kumpulan penyelidikan akan menerima dana permulaan sebanyak RM5,000 pada tahun ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa pencapaian kumpulan tersebut akan dinilai berdasarkan Return on Investment (ROI), seperti kejayaan memperoleh geran luar, serta Return on Value (ROV) yang merangkumi pemindahan ilmu, impak kepada komuniti dan pembangunan bakat.

Program jerayawara itu turut menampilkan taklimat oleh wakil UUM Information Technology dan Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur berhubung beberapa pelan penambahbaikan infrastruktur, termasuk naik taraf Wi-Fi di seluruh kampus, Penilaian Keadaan Bangunan bagi kampus OYAGSB Kuala Lumpur serta tindakan penyelenggaraan segera.
Sesi tersebut menghimpunkan warga akademik dan pentadbiran sebagai tanda sokongan terhadap keutamaan agenda penyelidikan OYAGSB.
Turut hadir ialah Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Prof. Madya Dr. Mohammad Azam Hussain; Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam; Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) OYAGSB, Datuk Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki dan Timbalan Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Selvan Perumal. – Nur Shazwani Shariffudin



