Latihan kebakaran Inasis UUM pastikan keselamatan dan kesiapsiagaan berlaku kecemasan kebakaran
Berita dan gambar Nurulwajhi Yahaya
SINTOK, 20 April 2026: Pelaksanaan latihan kebakaran (fire drill) di Inapan Siswa (Inasis) Universiti Utara Malaysia (UUM) merupakan langkah penting dalam memastikan keselamatan dan kesiapsiagaan penghuni sekiranya berlaku kecemasan kebakaran.
Latihan tersebut memberi pendedahan secara praktikal kepada pelajar mengenai prosedur pengungsian bangunan, penggunaan laluan kecemasan serta tindakan yang perlu diambil dalam situasi kebakaran termasuk demonstrasi teknik penggunaan alat pemadam api.

Selain itu, latihan ini turut membantu membentuk reaksi tidak balas yang lebih tenang dan tersusun dalam kalangan pelajar ketika menghadapi situasi kecemasan sebenar.
Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko (RMD), Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly berkata, pelaksanaan latihan kebakaran amat penting di kampus UUM, khususnya di INASIS memandangkan akan ada pelajar yang menghuni premis tersebut setiap masa.
Menurutnya, selain menguji keberkesanan sistem keselamatan kebakaran seperti penggera, laluan kecemasan dan kesesuaian tempat berkumpul, pelaksanaan latihan secara berkala turut membantu pihak pengurusan mengenal pasti kelemahan dalam pelan pengungsian serta menambah baik prosedur keselamatan dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, Inasis Malaysia Airlines (MAS) komited untuk melaksanakan latihan kebakaran secara berterusan bagi memastikan kesejahteraan seluruh warga Inasis tersebut sentiasa terpelihara.
Pengetua, Sharima Ruwaida Abbas yang mempengerusikan mesyuarat penyelarasan fire drill bagi tahun 2026 di Inasis MAS menegaskan bahawa latihan tersebut perlu dilaksanakan secara konsisten bagi memupuk kesiapsiagaan serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan kebakaran, khususnya dalam kalangan pelajar baharu.
“Dalam keadaan kecemasan, tindakan pantas dan tersusun adalah kritikal. Latihan seperti ini memastikan pelajar memahami laluan keluar, tidak panik dan dapat bertindak dengan selamat,” katanya.
Turut serta dalam mesyuarat tersebut ialah wakil dari RMD, Jabatan Keselamatan dan JPPI serta JKPS & RS INASIS MAS.



