UUM Press terajui Sesi Libat Urus Bersama TDPI: Perkasa kualiti penerbitan akademik
Berita dan gambar Mohammad Amzari Bakri
SINTOK, 20 April 2026: Dalam usaha memantapkan ekosistem penulisan dan penerbitan ilmiah, UUM Press telah mengadakan satu sesi libat urus strategik bersama Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi (TDPI) daripada pelbagai pusat pengajian di Universiti Utara Malaysia di Bilik Mesyuarat Eksekutif UUM Press.

Pengarah UUM Press, Prof. Madya Dr. Johan Afendi Ibrahim berkata, sesi ini bertujuan untuk menyelaraskan hala tuju untuk meningkatkan jumlah penerbitan buku serta membincangkan cabaran yang dihadapi dalam usaha untuk meningkatkan KPI penerbitan.
Perjumpaan ini memberi penekanan kepada tiga agenda penting bagi memastikan kualiti penerbitan buku berjaya dicapai iaitu:
- Platform Penerbitan: Menyokong KPI universiti melalui peningkatan reputasi akademik.
- Gatekeeper Kualiti: Memastikan setiap manuskrip melalui proses penilaian sejawat (peer review) mengikut standard yang ditetapkan.
- Capacity Builder: Bertindak sebagai pembimbing melalui bengkel mentoring dan klinik penulisan, khususnya bagi membantu pensyarah muda serta penulis kali pertama.
“Kolaborasi erat dengan TDPI adalah “nadi” kepada produktiviti penerbitan universiti,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa TDPI berperanan sebagai jambatan utama dalam mengenal pasti bakat penulis dalam kalangan pensyarah muda di peringkat pusat pengajian untuk diketengahkan oleh pihak penerbit.
“Kita mahu beralih daripada sekadar menerbitkan buku, kepada membina pengaruh melalui ilmu. Sinergi antara UUM Press dan TDPI akan memastikan setiap titis tinta penulis kita memberi impak kepada pelajar dan komuniti,” katanya.
Hasil daripada sesi ini, beberapa ketetapan telah dicapai antaranya mengadakan Bengkel Penulisan Intensif iaitu siri bengkel berfokus yang akan dianjurkan bersama oleh UUM Press dan pusat pengajian serta Pemantauan KPI bagi penyelarasan data penerbitan yang lebih sistematik antara TDPI dan UUM Press.



