Campus

UUM terima kunjungan akademik Universitas Riau, perkukuh kerjasama antarabangsa

Berita dan gambar Gs. Dr. Nur Suhaili Mansor

SINTOK, 22 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kunjungan rasmi daripada wakil Universitas Riau (UNRI) Indonesia yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Irsan Taufik Ali dalam satu sesi pertemuan akademik yang berlangsung semalam.

Kunjungan tersebut disambut oleh barisan kepimpinan utama UUM, Penolong Naib Canselor (PNC) yang juga Dekan Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Prof. Ts. Dr. Osman Ghazali serta Prof. Ts. Dr. Suhaidi Hassan, Timbalan Dekan Akademik, Prof. Madya Dr. Mazida Ahmad; Pengerusi Program PhD, Gs. Dr. Nur Suhaili Mansor, serta Pengerusi Jawatankuasa MoA/MoU dan Jaringan Antarabangsa SOC, Prof. Madya Dr. Rahayu Ahmad.

Dr. Osman berkata, pertemuan ini bertujuan memperkukuhkan hubungan akademik antara kedua-dua institusi serta meneroka potensi kerjasama strategik dalam bidang teknologi maklumat dan pengkomputeran.

Antara fokus utama perbincangan ialah usaha mempromosikan program pengajian peringkat sarjana muda dan pascasiswazah di SOC UUM kepada pelajar antarabangsa, khususnya dari Indonesia.

Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan peluang mobiliti pelajar dan staf akademik, termasuk program pertukaran pelajar, mobiliti pensyarah, penyeliaan bersama (co-supervision) bagi pelajar pascasiswazah, serta pelaksanaan program jangka pendek seperti kursus musim panas dan latihan industri berasaskan penyelidikan.

Perbincangan turut menyentuh potensi kolaborasi dalam penyelidikan bersama berimpak tinggi, penerbitan akademik bersama, serta pembangunan projek berteraskan teknologi digital, kecerdasan buatan, dan inovasi, selaras dengan keperluan semasa dalam era transformasi digital dan Revolusi Industri 4.0.

Delegasi UNRI turut menyatakan minat untuk memperluas jaringan kerjasama melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) pada masa hadapan sebagai landasan rasmi kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif akademik dan penyelidikan antara kedua-dua institusi.

Kunjungan ini dilihat sebagai satu langkah signifikan dalam memperkukuh hubungan antarabangsa UUM, khususnya dalam memperluas pengaruh akademik di peringkat serantau serta menyokong agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button