Program Hijaukan Alam, Lestarikan Kehidupan: Penanaman Anak Pokok Hutan di Taman Eko Rimba Bukit Wang
Gambar Muhamad Syazwi Sholihin
JITRA, 22 April 2026: Satu program penanaman anak pokok hutan telah berjaya dilaksanakan di Taman Eko Rimba Bukit Wang pada 16 April lalu, hasil kerjasama antara Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Pejabat Perhutanan Negeri Kedah.
Program yang bermula seawal jam 8.30 pagi ini melibatkan penyertaan seramai lebih kurang 70 peserta terdiri daripada kakitangan perhutanan, sukarelawan dari SEFB dan pelajar-pelajar UUM.

Pengarah Program, Mohd Khairy Mukhtaruddin berkata, inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan hutan serta memulihkan kawasan yang terjejas akibat aktiviti manusia dan faktor semula jadi.
Menurutnya, usaha seperti ini bukan sahaja membantu meningkatkan litupan hijau, malah turut memberi peluang kepada masyarakat untuk memahami peranan mereka dalam menjaga alam sekitar.
Beliau turut menekankan bahawa kerjasama berterusan antara agensi kerajaan dan komuniti amat penting bagi memastikan kelestarian hutan untuk generasi akan datang.
Sepanjang program berlangsung, sebanyak 160 anak pokok daripada pelbagai spesies tempatan telah ditanam di kawasan yang dikenal pasti. Antara spesies yang ditanam termasuk keriang dot, petai, durian dan lain-lain yang merupakan pokok hutan bernilai tinggi serta penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem.

Sementara itu, wakil Pejabat Perhutanan Negeri Kedah, Noorakmal Jamil berkata, pihaknya bersedia untuk terus menganjurkan program seumpama ini pada masa hadapan, selaras dengan agenda pemeliharaan dan pemuliharaan sumber hutan negara.
Program ini diakhiri dengan sesi bergambar dan lawatan ringkas ke sekitar kawasan Taman Eko Rimba Bukit Wang sebagai usaha memperkenalkan keindahan biodiversiti tempatan kepada peserta.
Dengan kejayaan penganjuran program ini, diharapkan lebih banyak pihak akan tampil menyokong usaha penghijauan dan pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan bersama. – Aliya Maisarah Abdul Rahim



