SoL terima kunjungan delegasi 14 universiti Indonesia, perkukuh MoU dan jaringan akademik serantau
Gambar Ahmad Termizi Othman
SINTOK, 22 April 2026: Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL) telah menerima kunjungan rasmi daripada delegasi 14 universiti Indonesia, baru-baru ini.
Universiti tersebut diketuai Universitas Ahmad Dahlan (UAD) bersama 13 universiti lain dari Indonesia iaitu Universitas Islam Riau, Universitas Andalas, Universitas Sumatera Utara, Universitas Jenderal Soedirman, Universitas Lancang Kuning, Universitas Asahan, Universitas Muhammadiyah Riau, Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara, Universitas Gunung Jati, Universitas Siber Muhammadiyah, Universitas Prof. Dr. Hazirin, Universitas Tarumanagara dan Universitas Pelita Bangsa.

Dekan SOL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab berkata, kunjungan ini merupakan satu usaha dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama akademik melalui Memorandum Persefahaman (MoU) sedia ada antara UAD dan UUM serta meneroka peluang pemeteraian MoU dengan universiti lain yang turut hadir dalam kunjungan kali ini.
Menurutnya, sesi perbincangan dua hala yang berlangsung secara konstruktif dan berfokus telah memberi penekanan kepada beberapa bidang strategik, khususnya pembangunan program pascasiswazah, pelaksanaan program akademik bersama, mobiliti pelajar dan staf akademik, serta pengukuhan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan penerbitan ilmiah.
Selain itu, katanya, semua wakil universiti yang turut hadir bersama UAD turut membincangkan potensi penganjuran bersama seminar, bengkel, dan persidangan antarabangsa yang bakal dianjurkan nanti.sebagai platform pertukaran ilmu dan kepakaran.
Sebagai sebahagian daripada pengisian kunjungan tersebut, satu forum ilmiah telah dianjurkan dengan tema ‘Penggunaan Pekerja Migran Non Prosedural dan Human Trafficking di Asia Tenggara Dalam Perspektif Hukum Islam, Hukum Malaysia & Hukum Indonesia’.

Forum ini memberi kefahaman rentas disiplin mengenai isu pekerja migran non prosedural dan pemerdagangan manusia dengan menggabungkan perspektif undang-undang Islam serta perspektif undang-undang Malaysia dan Indonesia.
Perbincangan ini membantu memperjelaskan jurang perundangan serta cabaran penguatkuasaan yang wujud di peringkat serantau. Selain itu, forum ini mendorong penyelarasan pendekatan antara negara dalam menangani isu pekerja tanpa dokumen lengkap, khususnya dari sudut perlindungan hak asasi pekerja migran dan pematuhan kepada prinsip keadilan dalam Islam dalam konteks pekerjaan.
Forum ini berperanan sebagai wadah diskusi akademik yang membolehkan perbandingan analitikal antara kerangka perundangan sivil, syariah dan antarabangsa, khususnya dalam menangani isu-isu kontemporari berkaitan hubungan pekerjaan, hak pekerja, serta tanggungjawab majikan dalam konteks perundangan semasa.
Wakil pembicara SOL dalam forum ini ialah Prof. Madya Dr. Mohammad Azam Hussain dan Prof. Madya Dr. Che Thalbi Md. Ismail, manakala wakil pembicara dari Indonesia adalah Prof. Madya Dr. Agusmidah dan Dr. Mulia Akbar Santoso.

Dr. Harlida berkata, inisiatif kerjasama ini merupakan langkah signifikan ke arah memperkukuhkan jaringan akademik serantau serta meningkatkan kualiti pendidikan undang-undang melalui pendekatan kolaboratif.
“Kerjasama strategik ini berpotensi untuk memperluas ruang kolaborasi dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan berimpak tinggi, penerbitan bersama, penganjuran seminar antarabangsa, serta program mobiliti yang dapat memperkayakan pengalaman akademik pelajar dan pensyarah,” katanya.
Secara keseluruhannya, kunjungan ini mencerminkan komitmen kedua-dua institusi dalam memperkukuhkan hubungan institusi serta memacu kecemerlangan akademik melalui kerjasama yang bersifat inklusif, dinamik dan berorientasikan masa hadapan, selaras dengan keperluan pembangunan pendidikan undang-undang di peringkat global dan serantau.
Turut bersama Timbalan-Timbalan Dekan, Pengerusi-Pengerusi Program dan pensyarah SOL menerima kunjungan delegasi dari universiti-universiti Indonesia yang diketuai oleh Prof. Dr. Fithriatus Shalihah dari UAD, bersama wakil-wakil delegasi dari universiti lain. – Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah



