Campus

UUMIT perkasa infrastruktur Wi-Fi: 2,000 Unit AP bakal dipasang demi keselesaan warga kampus

Berita dan gambar Khalid Robidi

SINTOK, 23 April 2026: UUM Information Technology (UUMIT) sedang mempergiatkan usaha menaik taraf capaian internet kampus melalui pelan transformasi infrastruktur Wi-Fi yang komprehensif, selaras dengan keperluan pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang semakin bergantung kepada teknologi digital.

Pengarah UUMIT, Prof. Madya PMgr. Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid berkata, proses penilaian tender bagi projek berkenaan kini berada di peringkat akhir dan pelantikan kontraktor akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Sejurus vendor dilantik, pihak UUMIT akan membuat pemasangan sebanyak 2,000 unit Access Point (AP) bersama suis rangkaian berkaitan.

“Projek ini turut melibatkan kerja pendawaian semula serta pemasangan secara berperingkat di seluruh kampus,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, keutamaan pemasangan akan diberikan kepada kawasan tumpuan pelajar seperti dewan kuliah, kafeteria serta kawasan Inasis Laluan C dan D.

Selain itu, katanya, capaian Wi-Fi juga akan diperluaskan ke rumah ibadat termasuk masjid dan surau yang sebelum ini tidak mempunyai kemudahan tersebut.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa fokus utama ketika ini adalah terhadap liputan dalam bangunan (indoor coverage), memandangkan penyediaan capaian di kawasan terbuka memerlukan teknologi dan kos yang berbeza.

“Walau bagaimanapun, pihak UUMIT sedang meneliti potensi kerjasama dengan penyedia telekomunikasi bagi memperluaskan liputan ke kawasan luar pada masa hadapan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa proses teknikal seperti konfigurasi, pemasangan dan penstabilan rangkaian memerlukan tempoh masa tertentu sebelum capaian dapat beroperasi secara optimum.

“Kami menjangkakan kestabilan rangkaian WiFi yang lebih menyeluruh dapat dinikmati sepenuhnya menjelang akhir tahun ini atau pada semester akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru agar pelajar bersabar dan tidak memberi tekanan kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), memandangkan usaha penambahbaikan sedang giat dilaksanakan oleh pihak universiti.

Sementara itu, pelajar digalakkan memanfaatkan kemudahan Wi-Fi sedia ada di lokasi seperti kafeteria dan dewan bagi tujuan PdP. Bagi yang menghadapi masalah teknikal seperti kesukaran log masuk sistem, bantuan segera boleh diperoleh melalui Klinik Bergerak UUMIT yang disediakan di sekitar kampus.

Dalam perkembangan berkaitan, UUMIT juga dijadualkan berpindah ke bangunan pejabat baharu dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada warga universiti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button