JPPH, SOG siap sedia hadapi penilaian akreditasi penuh, perkukuh kualiti akademik selaras piawaian MQA
Gambar Mahadi Mohd Razani
YAN, 26 April 2026: Jabatan Perancangan dan Pembangunan Hartanah (JPPH), Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) telah menganjurkan Retreat dan Bengkel Penyediaan Dokumen Maklum Balas Pematuhan Akreditasi Penuh (FA) pada 16 hingga 18 April lalu di The Jerai Hill Resort, Yan.
Dekan SOG, Prof. Dr. Halimah Abdul Manaf berkata, program ini dilaksanakan sebagai inisiatif strategik jabatan bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi penilaian akreditasi penuh serta memperkukuh kualiti akademik selaras dengan piawaian Malaysian Qualifications Agency (MQA).

Menurutnya, pelaksanaan retreat ini turut berfungsi sebagai platform bersepadu bagi memperhalusi dokumen maklum balas terhadap laporan penilaian akreditasi, di samping menyelaras kefahaman dalam kalangan pensyarah mengenai keperluan Outcome-Based Education (OBE), amalan Continuous Quality Improvement (CQI) serta hala tuju strategik jabatan bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Program berlangsung selama tiga hari dengan pengisian berbentuk taklimat, kerja berkumpulan dan pembentangan serta sesi semakan dokumen. Seterusnya, retreat ini dilaksanakan sebagai platform strategik untuk memperkukuhkan kefahaman pensyarah terhadap keperluan pematuhan Akreditasi Penuh (FA), khususnya dalam aspek penyediaan dokumen, pengurusan eviden dan pematuhan kepada standard yang ditetapkan oleh badan akreditasi.

Sementara itu, Pengerusi Program Pengurusan Pembangunan, Dr. Nurfadilah Saadul Kurzi berkata, melalui pendekatan berfokus dan kolaboratif, peserta diberi pendedahan yang lebih mendalam berkaitan prinsip Outcome-Based Education (OBE), pemetaan hasil pembelajaran serta pelaksanaan Continuous Quality Improvement (CQI) dengan penekanan kepada aspek ketepatan, keselarasan dan keberkesanan dokumentasi. Proses ini secara langsung menyumbang kepada penghasilan dokumen maklum balas yang lebih sistematik, menyeluruh dan berimpak tinggi.
Di samping itu, menurutnya, bengkel ini turut berperanan dalam meningkatkan kompetensi pensyarah dalam aspek pengajaran dan pembelajaran melalui pengukuhan kefahaman terhadap reka bentuk kurikulum berasaskan hasil pembelajaran serta amalan penambahbaikan berterusan.

Perbincangan yang dijalankan juga memberi penekanan kepada pengukuhan hala tuju strategik jabatan bagi tempoh lima tahun, iaitu dari 2026 hingga 2030 dengan mengambil kira keperluan semasa, kehendak industri serta aspirasi pembangunan negara. Pendekatan ini memastikan setiap warga akademik mempunyai kefahaman yang selaras dan komprehensif terhadap peranan masing-masing dalam menyokong kecemerlangan program dan kelestarian pembangunan jabatan.
Secara keseluruhannya, Retreat dan Bengkel Penyediaan Dokumen Maklum Balas Pematuhan Akreditasi (FA) ini telah mencapai objektif yang ditetapkan yang bukan sahaja menghasilkan dokumen maklum balas yang berkualiti, malah turut memperkukuhkan asas pengurusan akademik jabatan melalui pemantapan OBE, CQI serta hala tuju strategik.
Pendekatan berfokus dan kolaboratif yang digunakan dalam program ini wajar diteruskan pada masa hadapan sebagai amalan terbaik dalam memastikan kecemerlangan berterusan jabatan selaras dengan keperluan akreditasi dan perkembangan semasa pendidikan tinggi. – Dr. Nur Aili Hanim Hanafiah



