CEDI, JHEAIK teroka peluang kolaborasi dalam pembangunan keusahawanan berteraskan komuniti
Berita dan gambar Dr. Mohamad Hanif Abu Hassan
ALOR SETAR, 27 April 2026: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) yang berlangsung di pejabat JHEAIK, baru-baru ini.
Delegasi CEDI diketuai oleh Dr. Juhaida Abu Bakar dan Timbalan Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri dan Komuniti, Dr. Mohamad Hanif Abu Hassan.

Dr. Juhaida berkata, kunjungan ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua institusi, di samping meneroka peluang kolaborasi dalam pembangunan keusahawanan berteraskan komuniti, khususnya dalam memperkasa koperasi-koperasi masjid di seluruh negeri Kedah di bawah seliaan JHEAIK.
Sesi perbincangan telah disambut baik dan dipengerusikan oleh Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, Sheikh Zainul Jamal Abdul Ghani bersama barisan pegawai JHEAIK yang hadir.
Delegasi CEDI turut menerima layanan yang mesra dan profesional, mencerminkan komitmen tinggi kedua-dua pihak dalam menjayakan agenda pembangunan ummah.

Perbincangan yang berlangsung secara konstruktif telah mengenal pasti beberapa potensi kolaborasi strategik, khususnya dalam pembangunan kapasiti dan latihan keusahawanan koperasi masjid, pengukuhan tadbir urus serta pengurusan kewangan, pendigitalan operasi dan pemasaran komuniti dan inisiatif penjanaan pendapatan lestari
Diharapkan kunjungan ini menjadi pemangkin kepada jalinan kerjasama yang lebih erat antara CEDI UUM dan JHEAIK, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ummah yang holistik serta memperkasakan peranan koperasi masjid sebagai pemacu ekonomi komuniti.
Semoga usaha ini dapat diterjemahkan melalui pelaksanaan program-program berimpak tinggi yang memberi manfaat berterusan kepada masyarakat.



