General

FIM Siri 11: KPT perkasa kolaborasi intelektual dunia Islam harungi krisis geopolitik mutakhir

Gambar Ihsan FB MOHE dan Kori Ariff

PUTRAJAYA, 27 April 2026: Forum Ilmuwan Malaysia Madani (FIM) Siri 11 bertemakan “Muslim Unity in Times of Geopolitical Crisis” telah berlangsung di Kompleks Seri Perdana, semalam.

Siri pada kali ini dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Forum ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa perpaduan umat Islam bukan sekadar objektif strategik semata-mata, malah merupakan satu keperluan moral dan agama yang mendesak.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapan alu-aluannya menyifatkan forum itu sebagai inisiatif bermakna yang menyediakan platform dialog tulen untuk perbincangan kritis serta berpandangan jauh tanpa sebarang kekangan protokol tegar.

Forum ini turut menampilkan barisan panel berwibawa yang terdiri daripada Tuan Bilal Erdogan (Timbalan Pengerusi Universiti Ibn Haldun), Tuan Sharif Al Banna (Pengerusi Institut Pembangunan dan Penyelidikan Islam), Prof. Dr. Khairuddin al-Junid (Associate Professor, National University of Singapore) serta Senator Dr. Zulkifli Hasan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama).

Kesatuan umat Islam di seluruh dunia kini berdepan cabaran kritikal ekoran krisis geopolitik global yang mencabar kedaulatan ummah serta sistem antarabangsa berasaskan peraturan sedia ada.

Penganjuran forum berimpak tinggi itu bertujuan mempertemukan barisan pemikir, ahli akademik dan pemimpin merentas sektor bagi merumuskan resolusi praktikal terhadap isu sejagat demi masa depan dunia Islam yang lebih mampan.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; ikon bola sepak antarabangsa, Mesut Özil; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman dan Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed. – Kori Ariff

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button