Campus

Lawatan SSRU ke SOL kukuh jaringan kerjasama dan perluas peluang kolaborasi

Gambar Ahmad Termizi Othman

SINTOK, 28 April 2026: Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan rasmi daripada delegasi Suan Sunandha Rajabhat University (SSRU), Thailand dalam usaha memperkukuhkan jaringan kerjasama akademik antarabangsa dan memperluaskan peluang kolaborasi strategik antara kedua-dua institusi.

Delegasi SSRU yang terdiri daripada 13 orang terdiri daripada empat pensyarah, dua staf pentadbiran dan tujuh pelajar diketuai oleh Dekan Fakulti Undang-Undang, Assistant Professor Dr. Kamonwan Yoowattana telah disambut oleh Dekan SOL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab bersama barisan pengurusan SOL.

Dr. Harlida berkata, lawatan ini menjadi platform penting dalam membincangkan beberapa inisiatif kerjasama yang berimpak tinggi, antaranya pelaksanaan program pertukaran pelajar secara mobiliti berkredit, pelaksanaan satu projek penyelidikan bersama, serta penerbitan sekurang-kurangnya satu artikel penyelidikan bersama dalam jurnal terindeks Scopus.

Menurutnya, inisiatif ini dirangka bagi menyokong kolaborasi akademik yang mampan, saling menguntungkan serta praktikal untuk kedua-dua institusi.

Sepanjang lawatan, delegasi SSRU turut dibawa melawat kemudahan utama di UUM termasuk Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) di mana Pesta Buku Utara (PBU26) sedang berlangsung di ruang legar PSB, bilik mahkamah moot serta ruang-ruang aktiviti pelajar.

Selain itu, antara pengisian yang bermanfaat di mana pelajar SSRU turut diberi peluang untuk mengikuti sesi pembelajaran bagi kursus Public International Law yang dikendalikan oleh Ahmad Nasyran Azrae di mana pelajar yang turut serta dalam lawatan ini merasai sendiri pengalaman akademik di UUM serta memahami pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang diamalkan.

Dari sudut pensyarah, kolaborasi ini membuka ruang kepada pemindahan ilmu, pembangunan profesional berterusan serta pengukuhan jaringan akademik global, manakala bagi institusi, hubungan strategik ini mampu menarik lebih banyak peluang kerjasama masa hadapan termasuk geran penyelidikan antarabangsa dan program mobiliti yang lebih luas.

Dr. Harlida berharap agar jalinan kerjasama ini akan terus berkembang dan memberi manfaat signifikan kepada pembangunan akademik, penyelidikan dan jaringan global kedua-dua universiti.

“Secara keseluruhannya, lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua institusi dalam memperkukuh hubungan akademik rentas negara serta menjana impak jangka panjang yang signifikan kepada pembangunan pendidikan, penyelidikan dan jaringan global.

“Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua institusi dalam memperkukuh hubungan akademik rentas negara, di samping membuka ruang kepada mobiliti pelajar dan pensyarah serta penghasilan penyelidikan berkualiti tinggi di peringkat antarabangsa,” katanya. – Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button