Campus

Memperkukuh Ekosistem TVET: LoI dimeterai antara Persatuan Pekerja Kemahiran Malaysia dan Pengurusan TVET UUM

Berita dan gambar Dr. Wahida Yaakub

KUALA LUMPUR, 28 April 2026: Satu langkah signifikan dalam memperkasakan ekosistem TVET negara direalisasikan apabila Persatuan Pekerja Kemahiran Malaysia memeterai Surat Hasrat (LoI) bersama pengurusan TVET Universiti Utara Malaysia (UUM) Kuala Lumpur.

Majlis pemeteraian ini menghimpunkan kepimpinan utama kedua-dua pihak. Persatuan diwakili oleh Pengerusi, Mohd Tuah Ismail bersama Setiausaha, Md Zubir Saad serta barisan jawatankuasa iaitu Mohd Izwan Mansor, Wan Muhammad Ridhuan Nor Hakim, Syafry Mansor dan Hasliza Hassan.

Sementara itu, pihak UUM Kuala Lumpur diwakili oleh Provos, Prof. Dr. Norlena Hasnan, manakala pengurusan TVET diketuai oleh Pengarahnya, Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad bersama Dr. Kamal Khalid.

Dr. Norlena berkata, perjanjian strategik selama satu tahun ini membuka lembaran baharu kolaborasi berimpak, merangkumi pelaksanaan program bersama seperti konvensyen TVET, pensijilan kemahiran (SKM dan DKM), serta inisiatif pembangunan bakat yang lebih tersusun dan responsif kepada keperluan industri masa kini.

Menurutnya, UUM turut diberi peranan sebagai penasihat dalam jawatankuasa penasihat (Advisory Committee), sekali gus memperkukuhkan hala tuju strategik dan kredibiliti pelaksanaan program.

“UUM Kuala Lumpur memberikan sokongan penuh serta mengalu-alukan kerjasama ini sebagai platform memperluaskan pengaruh TVET ke tahap yang lebih kompetitif dan berdaya saing,” katanya.

Kolaborasi ini dijangka menjadi pemacu transformasi TVET negara dengan menggabungkan kepakaran akademia dan keperluan industri, sekali gus melonjakkan kualiti modal insan berkemahiran tinggi serta memperkukuhkan daya saing Malaysia.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button