Education

Pelajar UUM timba pengalaman dalam Program “My Money & Me” MFPC

Gambar MFPC

PULAU PINANG, 28 April 2026: Seramai 40 pelajar UUM yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) telah menghadiri program “My Money & Me: Smart Money Talk” anjuran Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) dengan kerjasama Pusat Pengajian Pengurusan, Universiti Sains Malaysia (USM).

MFPC sebagai rakan MoU dengan UUM memainkan peranan dalam mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat umum tentang kepentingan perancangan kewangan.

Program My Money & Me khususnya bertujuan untuk meningkatkan tahap literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya penjawat awam serta golongan rentan termasuk kumpulan B40.

Menurutnya, melalui program ini, pelbagai pakar daripada bidang pengurusan kewangan, termasuk penceramah daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia, dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia turut memberikan pendedahan serta kesedaran tentang kepentingan pengurusan kewangan yang berkesan bagi membantu peserta membuat keputusan kewangan yang lebih bijak dan mampan.

Program ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi MFPC Penang Chapter, Charles Tan Swee Choon. yang memaklumkan bahawa program My Money & Me telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan pada tahun lalu.

Menurutnya, bilangan peserta pada tahun lepas membuktikan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan perancangan kewangan serta keinginan orang awam untuk mempelajari ilmu pengurusan kewangan melalui program sebegini.

Selain itu, wakil penceramah daripada MFPC, Rafie Omar turut memberikan pendedahan berkenaan impak inflasi akibat risiko geopolitik antarabangsa pada masi kini.

Menurutnya, walaupun kesan inflasi tersebut belum dirasai sepenuhnya oleh rakyat Malaysia, impaknya berkemungkinan akan dirasai dengan lebih ketara pada bulan-bulan akan datang berikutan kelembapan ekonomi negara maju yang berlaku lebih awal.

Penceramah daripada LHDNM, Mohd Taqiyuddin Aminludin, turut memperkenalkan penggunaan sistem MyTax kepada peserta bagi tujuan pengisytiharan pendapatan, tuntutan pelepasan cukai, serta penghantaran Borang Nyata Cukai Pendapatan secara digital.

Penceramah lain dalam program tersebut termasuk Mohamad Hafiz Hafifi Hassan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang memperkenalkan pengetahuan asas pelaburan di Malaysia.

Selain pelajar dari UUM dan USM, orang awam turut menyertai program tersebut termasuk beberapa pensyarah daripada Wawasan Open University yang hadir bagi memperoleh manfaat daripada perkongsian penceramah pada hari tersebut.

Persatuan Kewangan dan Perbankan (FABS) UUM menjadi pelaksana utama dalam menjayakan lawatan ini ke USM. – Dr. Ooi Chai Aun

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button