Aktiviti ‘Beach Cleaning’ USR UUM perkasa kelestarian Pulau Perhentian
Gambar Pusat Kokurikulum
TERENGGANU, 29 April 2026: Komitmen Universiti Utara Malaysia (UUM) terhadap kelestarian alam sekitar terus diperkukuhkan menerusi pelaksanaan aktiviti beach cleaning bersempena Program University Social Responsibility (USR) anjuran Pusat Kokurikulum bersama komuniti setempat di Pulau Perhentian Kecil, Terengganu.

Program ini memberi fokus kepada pemeliharaan ekosistem marin melalui usaha pembersihan kawasan pantai, selaras dengan agenda Sustainable Development Goals (SDG) khususnya SDG 14 (Life Below Water) dan SDG 17 (Partnerships for the Goals). Inisiatif ini turut mencerminkan pelaksanaan prinsip Environmental, Social and Governance (ESG), terutamanya dalam aspek penjagaan alam sekitar dan tanggungjawab sosial.
Seramai 20 peserta terdiri daripada pelajar UUM bersama komuniti setempat telah berganding bahu menjalankan aktiviti pembersihan dengan mengutip pelbagai jenis sisa seperti plastik, botol, sisa makanan dan bahan buangan lain yang mencemarkan kawasan pantai.
Pengarah Pusat Kokurikulum, Dr. Za’im Ahmad berkata, usaha ini bukan sahaja berjaya meningkatkan tahap kebersihan persekitaran, malah memberi mesej jelas tentang kepentingan memelihara keindahan destinasi pelancongan terkenal negara.

Menurutnya, selain aktiviti pembersihan, peserta turut didedahkan dengan pengetahuan berkaitan pengurusan sisa yang berkesan serta kesan negatif pencemaran terhadap hidupan marin.
“Pendedahan ini amat penting dalam meningkatkan kesedaran, terutamanya di kawasan yang menerima kunjungan pelancong yang tinggi, sekali gus menggalakkan amalan gaya hidup lestari dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Program ini turut membawa pelbagai manfaat kepada pelajar UUM apabila mereka berpeluang mengaplikasikan nilai kepimpinan, kerja berpasukan dan tanggungjawab sosial dalam situasi sebenar. Penglibatan secara langsung bersama komuniti juga membantu membina empati serta kesedaran terhadap isu alam sekitar, selaras dengan usaha melahirkan graduan yang holistik dan berdaya saing.

Bagi komuniti setempat pula, program ini memberi impak positif melalui peningkatan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kebersihan pantai, di samping mengukuhkan semangat kerjasama antara penduduk dan institusi pendidikan. Inisiatif ini juga membantu memelihara imej Pulau Perhentian sebagai destinasi pelancongan yang bersih, lestari dan menarik.
Aktiviti ini berjaya mencapai objektif dalam memupuk kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar serta memperkukuhkan hubungan strategik antara universiti dan komuniti, malah menjadi usaha kolektif dalam memastikan kelestarian alam sekitar terpelihara demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang. – Muhammad Zikri A. Sohor



