Education

Jalinan strategik Pusat Islam dan IQDAR dalam pemerkasaan Sijil Al-Fatihah

Gambar Pusat Islam UUM

ALOR SETAR, 29 April 2026: Satu langkah proaktif ke arah memperkukuh pendidikan al-Quran telah direalisasikan melalui jalinan strategik antara Pusat Islam dan Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR) dalam satu sesi perbincangan rasmi yang berlangsung di kampus IQDAR, Alor Setar.

Delegasi Pusat Islam yang diketuai Pengarahnya, Mohd Yusnaidi Md. Sabri bersama barisan pegawai iaitu Zar Ei Zakaria, Muhammad Kamil Yazid serta Sharif Abdus Salam Sharif Saad disambut Pengarah IQDAR, Fakhrul Razi Mihat dan pegawai pengurusan IQDAR.

Mohd Yusnaidi berkata, kunjungan ini bertujuan menjalin hubungan strategik yang lebih erat antara kedua-dua institusi dalam usaha memperkasakan pendidikan al-Quran, khususnya melalui pelaksanaan Program Sijil Al-Fatihah.

Menurutnya, program ini dilihat sebagai satu inisiatif asas yang penting dalam memastikan pembelajaran bacaan al-Quran dilaksanakan secara betul, tersusun dan berlandaskan kaedah tajwid yang betul.

Perbincangan yang berlangsung memberi penekanan kepada aspek pelaksanaan, modul pembelajaran, serta potensi kolaborasi dalam memperluas capaian Program Sijil Al-Fatihah kepada komuniti kampus dan masyarakat umum.

“Inisiatif ini bukan sahaja memfokuskan kepada penguasaan bacaan Surah al-Fatihah yang tepat, malah berperanan sebagai pintu masuk kepada kefahaman al-Quran yang lebih mendalam.

“Saya berharap agar kerjasama ini dapat diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan yang berimpak tinggi yang bukan sekadar pertemuan strategik, tetapi menjadi titik tolak kepada usaha berterusan dalam melahirkan generasi yang celik al-Quran, mampu membaca dengan fasih serta menghayati setiap maknanya dalam kehidupan,” katanya.

Jalinan sinergi ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam melahirkan generasi celik al-Quran yang mampu membaca dengan fasih, memahami dengan benar, serta menghayati ajaran Islam dalam kehidupan seharian.

Selain itu, kerjasama ini juga diharap dapat diperluaskan kepada pelbagai program pembangunan ummah yang lain, selari dengan aspirasi memperkasa pendidikan Islam secara holistik dan berimpak tinggi.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Khidmat Pengurusan), Abdul Malik Che Haat dan Timbalan Pengarah (HEA dan HEP), Mohd Zakuan Abdul Manaf. – Nor Azlinah Zaini

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button