“Morning Tea Session” bersama Alumni Pantai Timur perkukuh jaringan industri dan pembangunan kerjaya pelajar UUM
Gambar oleh: Pusat Kokurikulum
PULAU PERHENTIAN, TERENGGANU, 24 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Alumni dengan kerjasama Pusat Kokurikulum terus memperkukuh jaringan strategik apabila menganjurkan Program Morning Tea Session & Alumni Talk bersama alumni UUM Pantai Timur dan pelajar KoK Clique sempena Program University Social Responsibility (USR) di Perhentian Island Resort, Pulau Perhentian.
Program berimpak tinggi ini menghimpunkan kepimpinan universiti, alumni, pihak industri serta pelajar dalam satu platform interaksi santai namun bermakna, selaras dengan agenda Sustainable Development Goals (SDG) khususnya SDG 4 (Quality Education) dan SDG 8 (Decent Work and Economic Growth).
Inisiatif ini turut menyokong elemen Social dalam kerangka Environmental, Social and Governance (ESG) melalui pengukuhan jaringan profesional yang inklusif dan mampan.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Pengarah Pusat Kokurikulum, Dr. Za’im bin Ahmad; Timbalan Pengarah (Aktiviti), Prof. Madya Ts. Dr. Nur Khairiel bin Anuar; serta Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti binti Abu Bakar.
Turut hadir ialah barisan alumni Pantai Timur termasuk Puan Siti Rohani binti Muda (Inspektor IPD Terengganu), wakil industri selaku Ketua Pegawai Operasi Inch Kenneth Kajang Rubber, serta pihak pengurusan resort yang diketuai oleh Tuan Haji Hussain Ahmad bin Abdul Kadir, di samping penglibatan aktif pelajar kokurikulum UUM.
Dalam sesi perkongsian, wakil industri menekankan kepentingan hubungan erat antara universiti dan industri dalam melahirkan graduan yang memenuhi kehendak pasaran kerja semasa.

Selain kecemerlangan akademik, beliau menegaskan bahawa kemahiran insaniah seperti komunikasi berkesan, kepimpinan, pemikiran kritis dan kebolehsuaian merupakan antara elemen utama yang menjadi penilaian majikan masa kini.
“Platform seperti ini amat penting untuk merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri, sekali gus membantu membentuk tenaga kerja masa hadapan yang lebih kompeten dan relevan,” jelas beliau.
Sesi ini turut menjadi medan interaksi dua hala yang membuka ruang kepada pelajar untuk mendapatkan pendedahan secara langsung mengenai laluan kerjaya, cabaran sebenar dunia pekerjaan serta peluang industri. Perkongsian pengalaman daripada alumni berjaya memberi inspirasi dan motivasi kepada pelajar dalam merancang hala tuju kerjaya mereka dengan lebih jelas dan strategik.

Bagi pelajar UUM, penyertaan dalam program ini memberi nilai tambah yang signifikan melalui pembangunan kemahiran jaringan (networking), peningkatan keyakinan diri serta pendedahan kepada realiti industri yang sebenar. Dalam masa yang sama, alumni pula mendapat manfaat melalui pengukuhan hubungan dengan alma mater, peluang kolaborasi bersama universiti serta platform untuk menyumbang kembali kepakaran dan pengalaman kepada generasi pelapis.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif dalam memperkukuh hubungan strategik antara universiti, alumni, industri dan komuniti setempat. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan berdaya tahan, selaras dengan aspirasi SDG dan ESG dalam memacu pembangunan masyarakat serta negara secara lestari. – Muhammad Zikri A. Sohor



