Campus

SBM rai bakal jemaah haji

Gambar Muhamad Arief Fitri Shafie

SINTOK, 29 April 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) telah mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat bertempat di Ruang Legar Pejabat SBM bagi meraikan dua staf iaitu Prof. Fadzli Shah Abd Aziz dan Dr. Khairol Anuar Ishak yang bakal menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Majlis telah dilaksanakan secara hibrid, menggabungkan kehadiran fizikal di pejabat dan penyertaan secara dalam talian melalui platform Webex bagi memastikan seluruh warga SBM dapat bersama-sama memanjatkan doa.

Majlis tersebut dipimpin oleh Penolong Pegawai Tadbir Kanan dari Pusat Islam, Mohd Firdaus Ahmat. Selain memimpin bacaan Yasin dan doa selamat, Mohd Firdaus turut menyampaikan tazkirah ringkas yang memberi pengisian rohani buat semua yang hadir.

Dalam tazkirahnya, Mohd Firdaus menyentuh tentang kepentingan menjaga niat dan kesabaran dalam menunaikan ibadah haji, serta mengingatkan seluruh warga kerja tentang keberkatan dalam mendoakan kesejahteraan rakan sekerja yang lain agar sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT.

Suasana majlis berlangsung dengan penuh mahabbah dan harmoni di bawah bimbingan Mohd Firdaus. Seluruh hadirin bersama-sama mengaminkan doa agar urusan kedua-dua bakal jemaah haji dipermudahkan, dikurniakan kesihatan yang optimum sepanjang berada di Tanah Suci, serta memperoleh haji yang mabrur.

Sementara itu, Dekan, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad berharap bakal jemaah haji tersebut dapat menunaikan iabadah haji dengan sempurna dan berada dalam kesihatan yang baik.

Pihak Jawatankuasa (JK) Rekreasi dan Kesejahteraan SBM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudiannya memberikan pengisian ilmu dan memimpin majlis. – Dr. Luqman Mahmud

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button