KWSP turun padang ke UUM: Program EPF Padawan perkasa pelajar IBS dan SEFB
Gambar Muhamad Syamsul Akmal Mohd Nasir
SINTOK, 29 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan kerjasama strategik dengan pihak industri melalui penganjuran Program EPF Padawan anjuran Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) yang berlangsung di Dewan Kuliah Gugusan (DKG) 2/2, melibatkan penyertaan aktif pelajar daripada Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB).
Pengarahnya, Dr. Fikriyah Abdullah berkata, program dengan kerjasama IBS ini bertujuan meningkatkan literasi kewangan, kesedaran perancangan masa depan, serta kesiapsiagaan pelajar menghadapi dunia pekerjaan yang semakin mencabar.

Dr. Fikriyah juga menekankan kepentingan pendedahan awal kepada realiti dunia pekerjaan dan pengurusan kewangan sebagai elemen penting dalam pembangunan holistik pelajar.
“Program seperti ini mampu menjadi jambatan antara teori yang dipelajari di dalam bilik kuliah dengan aplikasi sebenar dalam dunia industri,” katanya.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran wakil daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu Ketua Cawangan KWSP Alor Setar, Md Sabri Hamid; Pengurus Kanan Pejabat KWSP Wilayah Utara, Rozanah Abdul Rahim dan Timbalan Pengurus Pejabat KWSP Wilayah Utara, Noor Hafiza.
Kehadiran mereka mencerminkan komitmen KWSP dalam menyokong pembangunan generasi muda, khususnya dalam aspek pengurusan kewangan dan perancangan persaraan.
Turut hadir mewakili UUM ialah Penyelaras Program School of Hard Knocks (SoHK), Dr. Aidanajwa Sabri dan Pensyarah IBS, Dr. Mohamad Yazid Isa.

Sementara itu, sesi perkongsian oleh pihak KWSP memberi penekanan kepada kepentingan simpanan awal, pengurusan kewangan berhemah, serta kefahaman terhadap sistem perlindungan sosial di Malaysia. Pelajar turut didedahkan kepada cabaran sebenar yang bakal dihadapi selepas tamat pengajian, termasuk aspek kestabilan kewangan dan perancangan jangka panjang.
Program ini juga selari dengan objektif School of Hard Knocks (SoHK) yang memberi fokus kepada pembangunan pelajar berasaskan pengalaman industri, termasuk pendedahan kepada amalan terbaik, pemikiran profesional, dan pembinaan jaringan kerjaya.
Melalui pelaksanaan Program EPF Padawan ini, UUM dan KWSP berharap dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah mempunyai kesedaran kewangan yang tinggi, berdaya tahan, dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan dengan lebih yakin.
Program ini dilihat sebagai satu langkah proaktif dalam memperkukuh sinergi antara universiti dan industri demi memastikan kebolehpasaran graduan terus relevan dan berdaya saing. – Dr. Aidanajwa Sabri



