Roadshow Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) ke STML perkasa penubuhan kumpulan penyelidikan
Berita dan gambar Salina Ali
SINTOK, 30 April 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan delegasi daripada beberapa jabatan utama di bawah portfolio Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) melalui penganjuran Program Road Show TNC (P&I).
Antara jabatan yang terlibat ialah Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (JHEPPI), Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI), UUM Information Technology (UUMIT), Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) dan Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC).
Delegasi tersebut diketuai oleh Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), JHEPPI, Prof. Dr. Nor Idayu Mahat yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).

Program ini dihadiri oleh pensyarah-pensyarah STML serta wakil daripada jabatan-jabatan berkaitan. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Dekan STML, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim, diikuti sesi taklimat oleh Dr. Nor Idayu.
Dalam sesi taklimat tersebut, Dr. Nor Idayu menjelaskan bahawa setiap kumpulan penyelidikan (research group) yang ditubuhkan akan menerima peruntukan awal bagi menyokong pelaksanaan aktiviti penyelidikan.
“Sebagai galakan, setiap kumpulan penyelidikan akan menerima dana RM5,000 bagi memulakan dan merancakkan aktiviti penyelidikan mereka,” katanya.
Menurutnya, tujuan utama penganjuran roadshow ini adalah untuk memperkasakan agenda penyelidikan universiti dengan memberi penjelasan berhubung penubuhan kumpulan penyelidikan (research group) di peringkat pusat pengajian.
Selain itu, katanya, program ini turut berkongsi hala tuju strategik penyelidikan universiti yang lebih tersusun dan berimpak tinggi.

Sesi ini juga membuka ruang kepada warga STML untuk mengemukakan isu dan cabaran yang dihadapi, khususnya berkaitan kemudahan fasiliti penyelidikan, sokongan teknikal serta keperluan infrastruktur yang menyokong aktiviti penyelidikan dan inovasi.
Di samping itu, program ini berfungsi sebagai platform penting dalam memperkukuh komunikasi dua hala antara pengurusan universiti dan staf akademik. Maklum balas yang diperoleh akan dipertimbangkan bagi menambah baik sokongan terhadap aktiviti penyelidikan di STML.
Penganjuran program ini diharapkan dapat meningkatkan penglibatan staf dalam kumpulan penyelidikan, mempergiat aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), merancakkan inovasi serta menggalakkan kolaborasi strategik selaras dengan aspirasi UUM dalam memperkukuh kecemerlangan penyelidikan dan inovasi.



