Education

Kunjungan STML Ke Qatar Airways perkukuh jalinan kolaborasi strategik

Berita dan gambar Nur Shamimi Ayuni Mohamad Baki

KUALA LUMPUR, 5 Mei 2026: Lawatan delegasi Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) ke Qatar Airways baru-baru ini memperkukuhkan lagi hubungan strategik antara akademia dan industri, khususnya dalam menyokong penganjuran International Conference on Technology and Operations Management (iCTOM) yang akan diadakan pada tahun ini.

Delegasi STML UUM diketuai oleh Dekan, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim bersama barisan akademik yang terdiri daripada Felo Technology and Supply Chain Excellence Institute (TeSCE), Prof. Madya Dr. Halim Mad Lazim serta Pengerusi Pascasiswazah STML, Dr. Rushanim Hashim dan Dr. Syairah Aimi Shahron.

Dr. Mohd Kamarul Irwan berkata, kunjungan hormat ini menjadi platform strategik untuk membincangkan potensi kerjasama antara UUM dan Qatar Airways, terutamanya dalam memperkukuhkan jaringan industri bagi menjayakan persidangan antarabangsa yang menghimpunkan ahli akademik, penyelidik dan pemain industri dalam bidang teknologi dan pengurusan operasi.

Delegasi STML disambut oleh Regional Manager ASEAN, Qatar Airways, Dato’ Muzammil Mohamad yang menyatakan sokongan terhadap inisiatif penganjuran persidangan tersebut serta berkongsi pandangan mengenai keperluan industri penerbangan global, khususnya dalam aspek kecekapan operasi, inovasi teknologi dan pembangunan modal insan.

Inisiatif ini selari dengan aspirasi UUM untuk memperkukuhkan keterlibatan industri di peringkat global serta memastikan program akademik dan penyelidikan sentiasa relevan dengan keperluan semasa, di samping memposisikan iCTOM 2026 sebagai platform berprestij dalam bidang pengurusan teknologi, operasi dan logistik.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button