Education

Felo Penyelidik IHM hadiri Perasmian Bangunan Spa Halal di Prince Of Songkla University (PSU)

Gambar Dr. Nor Aina Mhd Khotib

PATTANI, 5 Mei 2026: Seramai tiga felo penyelidik dari Institut Pengurusan Halal (IHM), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah menghadiri Majlis Perasmian Pusat Pembelajaran Spa Halal yang berlangsung di Prince of Songkla University (PSU) Cawangan Pattani.

Delegasi lawatan kerja tersebut diketuai oleh Pengarah IHM, Dr. Nor Aina Mhd Khotib.

Dr. Nor Aina berkata, tujuan utama lawatan ini adalah untuk memperkukuhkan kefahaman penyelidik terhadap pelaksanaan serta operasi sebenar sebuah spa berkonsepkan halal.

Menurutnya, inisiatif ini amat bertepatan dengan landskap semasa  di mana industri penjagaan diri dan spa halal dilihat semakin pesat berkembang dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat.

Sepanjang berada di sana, delegasi IHM berpeluang meninjau fasiliti yang disediakan serta memahami dengan lebih mendalam mengenai garis panduan operasi perkhidmatan spa yang menepati piawaian syariah.

Pusat Pembelajaran Spa Halal telah dirasmikan oleh Syeikhul Islam Thailand H.E. Arun Boonchom.

Selain itu. lawatan ke Pusat Pembelajaran Spa Halal PSU ini turut membuka ruang untuk berkongsi pandangan mengenai pengurusan dan amalan terbaik dalam perniagaan perkhidmatan yang patuh syariah.

Sementara itu, Dr. Hawwa Abdul Mokti berkata, lawatan ini telah memberi peluang kepadanya untuk melihat sendiri fasiliti dan perkhidmatan yang disediakan oleh Spa Halal dan dapat menjana idea untuk kajian baharu yang boleh menyokong ekosistem industri halal serantau.

Selain itu, katanya, lawatan ini juga dapat membina hubungan dua hala yang lebih erat antara IHM dan institusi pengajian halal di Thailand bagi kolaborasi akademik pada masa akan datang.

Melalui lawatan bermakna ini, IHM komited untuk terus memacu kecemerlangan dalam bidang pengurusan halal sekali gus menyumbang kepada pemerkasaan industri perkhidmatan halal di peringkat global.

Penubuhan Pusat Pembelajaran Spa Halal ini adalah contoh terbaik bagi industri halal serta dapat menyumbang kepada peluang pekerjaan bagi pelajar dan komuniti Muslim di Pattani. – Prof. Madya Dr. Azizah Othman

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button