Education

Lensa Vokasia: Pelajar UUM terangi Kampung Teluk Ketapang

Berita dan gambar Azlin Samsu

KUALA TERENGGANU, 5 Mei 2026: Kelab Penyiaran Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Pertubuhan Bahtera Prihatin Rakyat Perlis (PBPRP) dibawah sokongan Kementerian Belia dan Sukan telah berjaya melaksanakan program khidmat masyarakat berimpak tinggi, “Vokasia: Dari Lensa Belia, Untuk Dunia” di Kampung Teluk Ketapang, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Program selama empat hari yang berakhir pada 11 April itu menyaksikan penglibatan 10 pelajar yang ditempatkan bersama keluarga angkat bagi mendalami denyut nadi kehidupan masyarakat setempat, khususnya dalam memperkasakan martabat golongan wanita.

Salah satu pencapaian utama program ini ialah inisiatif pemasangan lampu solar di kawasan gelap sekitar kampung. Langkah ini diambil hasil tinjauan lapangan yang dilakukan para peserta bagi meningkatkan tahap keselamatan persekitaran, sekali gus memberikan rasa selamat kepada penduduk kampung untuk bergerak pada waktu malam.

Pengarah Program Vokasia, Azlin Samsu berkata, fokus utama program ini adalah untuk memastikan wanita bukan sahaja dibela dari segi kebajikan, malah diberi sokongan moral dan persekitaran yang selamat.

“Kami mahu mengangkat darjat wanita melalui tindakan nyata. Pemasangan lampu solar ini mungkin nampak kecil, tetapi impaknya besar terhadap keselamatan seluruh penduduk kampung.

“Selain itu, kami turut mendokumentasikan kisah cekal wanita di sini daripada segelintir usahawan wanita bagi membuktikan kehebatan mereka mendepani cabaran ekonomi,” katanya.

Aktiviti Vokasia turut melibatkan kolaborasi bersama pelajar Politeknik Sultan Idris Shah, Selangor melalui sesi senamrobik perdana, sebelum beralih ke sesi pendokumentasian usahawan wanita tempatan. Antara yang ditemui termasuklah pengusaha itik yang tabah bangkit semula selepas kehilangan kediaman dalam kebakaran, serta warga emas yang gigih berniaga demi kelangsungan hidup.

Selain bantuan fizikal, aspek pendidikan turut diberi penekanan melalui Bengkel Keselamatan Digital & Literasi Media untuk belia di Wellness Hub, Teluk Ketapang.

Bengkel ini bertujuan memberi pencerahan kepada penduduk kampung mengenai ancaman penipuan siber dan taktik scammer yang semakin membimbangkan.

Majlis penutup yang penuh simbolik menyaksikan penyerahan sijil penyertaan, plak penghargaan kepada pihak Kampung Teluk Ketapang serta bingkai gambar kenangan sebagai tanda ikatan kekeluargaan antara mahasiswa dan keluarga angkat mereka.

Kejayaan program Vokasia: Dari Lensa Belia, Untuk Dunia ini membuktikan bahawa mahasiswa mampu menjadi penggerak perubahan yang holistik serta menggabungkan kemahiran teknikal, pendidikan dan empati sosial demi kesejahteraan sejagat.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button