Education

UUM perkukuh kolaborasi industri bersama CelcomDigi Berhad

Berita dan gambar Dr. Nuramalina Mohamad Na’in

PETALING JAYA, 5 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) terus memperkukuhkan jaringan strategik bersama industri menerusi kunjungan hormat ke CelcomDigi Berhad di CelcomDigi Tower.

Delegasi UUM diketuai oleh Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam telah disambut oleh Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan, CelcomDigi Berhad, Afizulazha Abdullah.

Dr. Chandrakantan berkata, kunjungan ini bertujuan memperkukuhkan hubungan strategik antara UUM dan CelcomDigi serta meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan bakat, inovasi dan pemindahan ilmu bagi manfaat bersama.

Sesi pertemuan singkat ini turut membincangankan potensi kolaborasi strategik antara universiti dan industri.

Antara fokus utama yang dibincangkan termasuk keperluan meningkatkan integrasi antara akademia dan industri melalui pembangunan modul pembelajaran yang selari dengan keperluan semasa industri, termasuk perisian serta pendekatan berasaskan perusahaan yang relevan.

Selain itu, Afizulazha turut berkongsi pendekatan CelcomDigi dalam pengurusan data serta penggunaan sistem dalaman bagi menyokong operasi dan pembangunan perkhidmatan berasaskan data.

Perkongsian ini membuka ruang kepada UUM untuk memperkukuh kurikulum khususnya dalam bidang teknologi dan transformasi digital.

Dalam aspek pembangunan pelajar, kedua-dua pihak turut membincangkan peluang memperluaskan pendedahan industri melalui program latihan industri, bimbingan (mentoring) serta penglibatan langsung pelajar dengan pihak industri bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Kolaborasi ini dilihat mampu memberi impak positif kepada pembangunan graduan UUM yang lebih kompeten, berdaya saing dan memenuhi keperluan industri masa kini.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button