Pembangunan negeri perlu diukur berdasarkan kesejahteraan rakyat
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
IPOH, 7 Mei 2026: Kejayaan pembangunan negeri tidak boleh lagi diukur semata-mata berdasarkan angka pertumbuhan ekonomi atau laporan pencapaian, sebaliknya perlu dinilai menerusi kesan sebenar yang dirasai rakyat.
Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan setiap dasar yang digubal benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat dan selari dengan realiti di lapangan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perak Policy and Research Conference (PPRC) yang menghimpunkan lebih 400 peserta terdiri daripada penjawat awam, pemain industri, ahli akademia dan pelbagai pihak berkepentingan.
Menurutnya, penyertaan besar daripada sektor kerajaan dan industri mencerminkan kesepakatan serta komitmen bersama dalam memperkukuh sistem penyampaian dan pelaksanaan dasar negeri.
“Sebagai pelaksana dasar, kita mempunyai tanggungjawab untuk merapatkan dunia angka dan dunia rasa,” katanya yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Darul Ridzuan (IDR).

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan merapatkan jurang antara pembuat dasar, pelaksana dan rakyat agar setiap keputusan yang dibuat benar-benar mengambil kira keperluan masyarakat.
Beliau turut menyentuh kepentingan reformasi pentadbiran serta pembinaan ekosistem yang menghubungkan aspek politik, penggubalan dasar dan pelaksanaan secara lebih bersepadu.
Katanya, ketiga-tiga komponen tersebut tidak boleh bergerak secara berasingan sekiranya kerajaan mahu memastikan dasar yang digubal mampu memberi impak menyeluruh kepada rakyat.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 353 cadangan dasar diterima sempena persidangan berkenaan dengan 40 pembentangan utama diketengahkan sepanjang program berlangsung.
Menurutnya, kerajaan tidak ketandusan idea, namun cabaran sebenar adalah memastikan setiap cadangan dapat diterjemahkan kepada tindakan serta pelaksanaan yang berkesan.
Persidangan itu turut menjadi platform menghimpunkan pelbagai pandangan, pengalaman dan perspektif dalam usaha memperkukuh strategi pembangunan negeri pada masa hadapan.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; timbalan-timbalan naib canselor UUM; Pengarah CeTMA, Prof. Madya Dr. Zahayu Md Yusof serta pegawai kanan universiti.



