SoG perkasa penerbitan artikel akhbar tingkat keterlihatan warga akademik
Gambar Dr. Siti Noor Shamilah Misnan
SINTOK, 10 Mei 2026: Pusat Pengajian Kerajaan (SoG) melalui Jawatankuasa Penyelidikan dan Penerbitan telah menganjurkan Bengkel Penulisan Akhbar baru-baru ini bertempat di Bilik Seminar SoG yang melibatkan penyertaan warga akademik yang berminat memperluas impak penulisan ke platform media arus perdana serta meningkatkan keterlihatan kepakaran akademik kepada masyarakat umum.

Bengkel dilaksanakan dalam dua sesi yang merangkumi pendedahan teori serta aplikasi praktikal dalam penulisan akhbar. Sesi pagi dikendalikan oleh penceramah yang berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan, Khairul Anuar Abdul Malik yang merupakan Timbalan Pengarah (Media Korporat), Jabatan Komunikasi Korporat UUM.
Dalam sesi tersebut, Khairul Anuar menekankan bahawa penulisan akademik seperti tesis dan kajian penyelidikan mempunyai potensi besar untuk diolah menjadi artikel akhbar yang relevan serta memberi impak kepada masyarakat.

Beliau turut menggalakkan peserta untuk menghasilkan penulisan berasaskan isu semasa, meskipun merentas bidang, dengan melihatnya daripada perspektif disiplin masing-masing. Di samping itu, beliau menegaskan bahawa gaya penulisan perlu bersifat inklusif dan mudah difahami oleh pelbagai lapisan pembaca daripada pelbagai latar belakang pendidikan.
Sesi petang pula disampaikan oleh Prof. Dr. Ahmad Zubir Ibrahim yang berkongsi pengalaman luas beliau dalam penulisan dan penerbitan artikel akhbar. Beliau menekankan kepentingan pemilihan tajuk yang menarik bagi memikat perhatian pembaca sejak awal.

Selain itu, beliau memperkenalkan teknik penyusunan isi menggunakan pendekatan piramid terbalik, di mana maklumat paling penting perlu disampaikan pada bahagian awal diikuti dengan huraian sokongan dan perincian tambahan. Peserta juga didedahkan dengan kepentingan memasukkan elemen ‘hook’ seperti fakta mengejutkan atau statistik semasa bagi menarik minat pembaca untuk terus mengikuti penulisan.
Bengkel ini dilihat berjaya meningkatkan kefahaman peserta mengenai teknik penulisan akhbar yang berkesan serta membuka ruang kepada warga akademik untuk menyumbang idea dan pandangan mereka kepada masyarakat melalui medium yang lebih luas dan mudah diakses.
Hasil daripada bengkel ini, sebanyak 19 artikel akhbar telah berjaya dihasilkan dan dihantar untuk proses penyuntingan. Bengkel ini juga selari dengan usaha universiti dalam memperkukuhkan pemindahan ilmu dan meningkatkan keterlihatan kepakaran akademik kepada umum. – Dr. Nur Fariha Mohd Noor



