Education

Program Mega SULAM SOG 2026 perkukuh hubungan universiti dan komuniti

Gambar Mohd Fuad Hamid

SIK, 10 Mei 2026: Pusat Pengajian Kerajaan (SoG), Universiti Utara Malaysia dengan kerjasama Majlis Daerah Sik telah menganjurkan Program Mega SULAM SOG 2026: Pemerkasaan Komuniti Sik melalui Kepimpinan Ekonomi dan Kelestarian Alam Sekitar sempena Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) Fasa 1 “Community Best” yang berlangsung semalam.

Program tersebut menghimpunkan pelbagai aktiviti komuniti melibatkan pameran agensi dan NGO, saringan kesihatan, jualan komuniti dan keusahawanan serta aktiviti berkaitan alam sekitar dan kepimpinan bagi memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Dekan SOG yang mewakili Naib Canselor, Prof. Dr. Halimah Abdul Manaf berkata, Program Mega SULAM SOG 2026 merupakan manifestasi komitmen universiti dalam menterjemahkan falsafah “Ilmu, Budi dan Bakti” melalui pendekatan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang menghubungkan ilmu akademik dengan realiti kehidupan masyarakat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Majlis Daerah Sik, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta agensi dan rakan strategik yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan program tersebut.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Sik, Faisal Rizal Mohammad menyeru masyarakat agar bersama-sama menjaga kelestarian Sik dengan mengamalkan kebersihan, memelihara alam sekitar serta memastikan imej daerah Sik sentiasa berada pada tahap terbaik.

Beliau turut menegaskan bahawa tanggungjawab menjaga kebersihan dan kelestarian bukan hanya terletak pada pihak berkuasa, tetapi memerlukan kerjasama berterusan daripada seluruh komuniti.

Program Mega SULAM SOG 2026 melibatkan penyertaan seramai 386 pelajar UUM daripada pelbagai kursus di bawah SOG.

Program ini dilaksanakan melalui empat zon utama iaitu Zon Kelestarian Alam Sekitar (Emas Hitam), Zon Kesedaran Awam (AKM), Zon Bijak Wang, Bijak Hidup serta Zon Green Leadership for Sustainable Community Transformation.

Antara pengisian utama program ialah aktiviti literasi kewangan, keusahawanan komuniti, kesedaran awam serta aktiviti kelestarian alam sekitar yang memberi peluang mahasiswa untuk berinteraksi secara langsung dengan komuniti setempat melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Program ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti di samping melahirkan mahasiswa yang mempunyai nilai kepimpinan, tanggungjawab sosial dan semangat kesukarelawanan selaras dengan aspirasi pembangunan komuniti mampan. – Noor Zafiera Ahmad Idris

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button