Education

SOE UUM perkasa pembelajaran Fiqh Kontemporari melalui eksplorasi Institusi Fatwa Negeri Kedah

Berita dan gambar  Muhd Zulhilmi Haron

ALOR SETAR, 13 Mei 2026: Seramai sembilan pelajar kursus SGDI5133 Fiqh Kontemporari dari Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai lawatan ilmiah ke Jabatan Mufti Negeri Kedah bagi mendalami proses istinbat dan tarjih hukum Islam dalam penentuan fatwa semasa.

Lawatan yang diketuai oleh pensyarah kanan SOE UUM, Dr. Muhd Zulhilmi Haron itu bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai kaedah penilaian sumber hukum, mekanisme pengeluaran fatwa serta peranan institusi mufti dalam menangani isu-isu kontemporari masyarakat Islam.

Dr. Muhd Zulhilmi berkata, lawatan ini merupakan sebahagian daripada kandungan kursus bagi SGDI5133 Fiqh Kontemporari bagi program Sarjana Pendidikan (Pendidikan Islam) semester A252.

Delegasi UUM telah disambut oleh Timbalan Mufti Negeri Kedah, Syeikh Marwazi Dziyauuddin sebelum sesi taklimat dan pembentangan berkaitan struktur pentadbiran Jabatan Mufti Negeri Kedah serta prosedur penghasilan fatwa dijalankan.

Sepanjang lawatan, pelajar turut berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pegawai jabatan dalam sesi soal jawab berkaitan cabaran fiqh semasa, metodologi istinbat hukum dan aplikasi fiqh kontemporari dalam konteks masyarakat moden.

Program ini dilihat mampu memperkukuhkan kefahaman pelajar terhadap hubungan antara teori fiqh yang dipelajari di bilik kuliah dengan realiti pengurusan fatwa di peringkat institusi, sekali gus melahirkan graduan Pendidikan Islam yang lebih kritis, kompeten dan berwibawa.

Lawatan ilmiah tersebut juga mencerminkan komitmen SOE UUM dalam memperkasakan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi negara yang menekankan integrasi ilmu, kemahiran dan nilai profesionalisme.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button