Campus

Pusat Sukan UUM jadi pemangkin pembangunan bakat renang komuniti setempat

Gambar Prof. Madya Dr. Mohd Azril Ismail, CMILT

SINTOK, 13 Mei 2026: Pusat Sukan Universiti Utara Malaysia (UUM) terus berperanan dengan memberikan sokongan terhadap pembangunan bakat sukan di peringkat akar umbi, bukan sahaja dalam kalangan pelajar UUM, malah melibatkan murid sekolah sekitar yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Pengarah Pusat Sukan UUM, Dr. Nasiruddin Haron berkata, atas kelulusan yang diberikan bagi membolehkan fasiliti pusat sukan itu digunakan sebagai pusat latihan kepada atlet muda dari komuniti sekitar UUM yang dilihat mempunyai potensi dalam sukan elit, khususnya renang.

Menurutnya, pendekatan tersebut mencerminkan komitmen Pusat Sukan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial universiti melalui sokongan terhadap pembangunan bakat sukan dalam kalangan pelajar mahupun murid  yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

“Dengan prasarana yang lengkap serta menepati keperluan latihan atlet, Pusat Sukan disifatkan sebagai antara pusat sukan yang berupaya menyediakan ekosistem latihan berkualiti bagi persiapan atlet menghadapi kejohanan di pelbagai peringkat.

“Kemudahan yang disediakan juga menjadi bukti bahawa universiti berperanan lebih luas, bukan sekadar pusat pendidikan, sebaliknya turut menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti setempat melalui pembangunan sukan,” katanya.

Dr. Nasiruddin berkata, diharapkan usaha berterusan Pusat Sukan UUM seperti ini dapat melahirkan lebih ramai atlet muda berpotensi pada masa hadapan, sekali gus membawa kejayaan bukan sahaja kepada warga universiti, tetapi juga kepada masyarakat sekitar UUM secara keseluruhannya.

Menurutnya, melalui sokongan, akses fasiliti dan kerjasama strategik yang diberikan, pembangunan bakat sukan sekolah sekitar Sintok diyakini mampu terus diperkasa secara lebih sistematik dan berimpak tinggi.

Atlet cilik renang dari Sekolah Rendah Bandar Baru Sintok, Nur Arissa Mohd Azril mencuri perhatian apabila berjaya meraih pingat emas dalam acara 4×50 meter Relay Freestyle pada kejohanan Madwave Challenge: Kedah Invitation Championship 2026 yang berlangsung di Pusat Akuatik Gunung Keriang, Alor Setar pada 8 dan 9 Mei lalu.

Di sebalik pencapaian membanggakan itu, kemudahan latihan yang disediakan oleh Pusat Sukan UUM dilihat memainkan peranan besar dalam membantu perkembangan Nur Arissa bersama dua abangnya, Mohamad Afizudin Mohd Azril, 14, dan Mohamad Areez Mohd Azril, 12, yang turut aktif dalam sukan renang.

Ketiga-tiga beradik yang mewakili negeri Kedah (OWS) dan Waterstings Advance Team itu memilih Pusat Sukan UUM sebagai lokasi latihan utama dengan memanfaatkan pelbagai fasiliti yang tersedia, termasuk trek balapan Stadium UUM bagi meningkatkan stamina dan daya tahan, gimnasium untuk latihan kekuatan otot, serta kolam renang bagi memperkemas kecekapan teknik dan membina ketahanan renang sebagai persiapan menghadapi kejohanan yang akan datang.

Menurut keluarga atlet berkenaan, kemudahan lengkap yang ditawarkan Pusat Sukan UUM bukan sahaja membantu dari sudut fizikal dan teknikal, malah memberi ruang latihan yang lebih tersusun kepada atlet muda dalam pembangunan bakat sukan ke arah penyertaan di peringkat lebih tinggi. – Mohamad Fisol Othman

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button