Education

TISSA-UUM dan UPNVJ, Indonesia jalin kolaborasi strategik perkukuh kecemerlangan perakaunan

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Saliza Abdul Aziz

JAKARTA, 13 Mei 2026: Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) kini melangkah setapak lagi dalam memperkukuhkan jalinan akademik antarabangsa melalui perancangan kolaborasi strategik bersama Universiti Pembangunan Nasional Veteran Jakarta (UPNVJ), Indonesia.

Dekan TISSA-UUM, Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Ali berkata, kerjasama yang memberikan fokus khusus kepada pembangunan Jabatan Perakaunan ini dimulakan dengan perancangan untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) secara rasmi sebagai asas kepada hubungan dua hala yang lebih utuh.

Menurutnya, melalui sinergi ini, kedua-dua institusi komited untuk mempergiatkan aktiviti penyelidikan dan penulisan bersama dalam kalangan ahli akademik bagi menghasilkan penerbitan yang berimpak tinggi di peringkat global.

Katanya, selain daripada pemerkasaan penyelidikan, kolaborasi ini turut merangkumi aspek penyeliaan bersama serta gabungan penilai bagi pelajar yang sedang mengikuti projek kertas penyelidikan mahupun calon ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Kolaborasi ini bukan sekadar perkongsian sumber, tetapi merupakan jambatan ilmu yang akan memperkasakan komuniti akademik perakaunan di kedua-dua negara melalui inovasi penyelidikan dan penyeliaan yang berkualiti.

“Langkah ini dijangka dapat memperkayakan perspektif akademik serta meningkatkan kualiti graduan melalui bimbingan pakar dari kedua-dua buah negara,” katanya.

Pada masa yang sama, TISSA-UUM mengambil peluang ini untuk mempromosikan kecemerlangan program pascasiswazah kepada tenaga akademik muda di UPNVJ yang bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Usaha ini bertujuan untuk menarik minat pensyarah baharu di Jabatan Perakaunan UPNVJ bagi memilih TISSA-UUM sebagai destinasi pengajian PhD mereka, sekali gus memperkukuh kelestarian kepakaran akademik dalam bidang perakaunan di rantau ini.

Jalinan kerjasama ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada inovasi pendidikan dan pembangunan modal insan yang dinamik bagi kedua-dua universiti.

Turut serta, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Dr. Saliza Abdul Aziz dan Ketua Jawatankuasa Pengantarabangsaan TISSA-UUM, Dr. Adura Ahmad.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button