Alumni SoIS kembali ke kampus kongsi pengalaman profesional
Berita dan gambar Mohd Khairil Hazree Hairudin
SINTOK, 13 Mei 2026: Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program The SoIS Bridge: Connecting Campus Life to Career Success pada 16 April lalu di Bilik Mesyuarat Utama SoIS.

Dekan SoIS, Prof. Madya Dr. Nazariah Osman berkata, program yang dianjurkan ini menjadi platform perkongsian pengalaman dan inspirasi kerjaya antara alumni SoIS bersama pelajar.
Menurutnya, program ini menjadi medium interaksi secara langsung antara alumni dan pelajar dalam membina jaringan profesional serta meningkatkan motivasi pelajar untuk lebih bersedia menghadapi alam kerjaya selepas tamat pengajian.
Program ini menampilkan dua alumni SoIS yang kini berkhidmat di Southeast Asia Regional Centre for Counter-Terrorism (SEARCCT), Kementerian Luar Negeri Malaysia iaitu Mr. R. Suresh, Timbalan Ketua Pengarah I (Dasar) dan Ms. Pa Arul Malar Palanveloo, Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Strategik Digital.

Sesi perkongsian memberi fokus kepada pengalaman alumni dalam menempuh alam pekerjaan, cabaran kerjaya serta kepentingan pembangunan kemahiran profesional dan komunikasi strategik dalam dunia pekerjaan masa kini.
Pelajar turut didedahkan dengan realiti industri serta peluang kerjaya khususnya dalam sektor hubungan antarabangsa, diplomasi dan komunikasi strategik.
Penganjuran The SoIS Bridge mencerminkan komitmen SoIS dalam memperkukuhkan hubungan alumni dan pelajar di samping menyediakan ruang perkongsian ilmu, pengalaman dan pembangunan kerjaya secara berterusan selaras dengan aspirasi universiti melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing.



