Pensyarah IBS UUM sertai Program Visiting Profesor di UIN Raden Fatah Palembang, Indonesia
Gambar Mail Hilian Batin, UIN Raden Fatah Palembang
PALEMBANG, 13 Mei 2026: Pensyarah dari Pusat pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia telah berjaya menyertai Program Visiting Professor di UIN Raden Fatah Palembang yang bermula 25 April hingga 2 Mei lalu.

Sepanjang program tersebut, Prof. Madya Dr. Mohd Adib Abd Muin telah terlibat dalam pelbagai aktiviti akademik dan pengantarabangsaan termasuk sesi kuliah, perkongsian ilmu, perbincangan penyelidikan dan penerbitan berimpak, melakukan promosi program pascasiswazah, serta pengukuhan jaringan kerjasama akademik antara kedua-dua institusi.
Program ini memberi fokus kepada bidang fiqh muamalat, kewangan dan perbankan Islam, etika perniagaan Islam, ekonomi digital, pengurusan halal, serta isu-isu semasa berkaitan ekonomi dan teknologi kewangan patuh syariah.

Selain menyampaikan syarahan akademik kepada pelajar dan pensyarah, beliau turut mengadakan sesi perbincangan bersama fakulti bagi meneroka peluang penyelidikan bersama dan penerbitan akademik antarabangsa.
Sepanjang berada di Palembang, Indonesia, Dr. Mohd Adib terlibat dengan aktiviti mempromosi dan menjadi Guest Speaker di Fakulti Ekonomi, Universitas Srivijaya dengan tajuk “Strengthening the Islamic Economics Curriculum and Learning Based on Science, Industrial Needs, and International Standards”.

Beliau juga diberikan kesempatan dan peluang untuk terlibat secara langsung sebagai Panel at Lecturer Discussion Forum (FORDIS), Session 1 of the Faculty of Psychology, UIN Raden Fatah Palembang, Indonesia dengan tajuk “Industrial and Organizational Psychology: Based on Islamic Perspective”.
Menurutnya, penyertaan dalam program seperti ini amat penting dalam memperkukuhkan hubungan strategik antara universiti serantau serta membuka ruang pertukaran ilmu dan pengalaman dalam kalangan ahli akademik.

“Program Visiting Professor ini bukan sahaja memperluaskan jaringan akademik antarabangsa, malah menjadi platform terbaik untuk berkongsi kepakaran serta memperkukuh pembangunan ilmu khususnya dalam bidang muamalat dan kewangan Islam hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Pihak UIN Raden Fatah Palembang turut menyambut baik penglibatan pensyarah dari Malaysia dan berharap kerjasama akademik antara kedua-dua universiti dapat diteruskan pada masa hadapan melalui program mobiliti akademik, penyelidikan dan penerbitan bersama. – Mejar Prof. Madya Dr. Mohd Adib Abd Muin,



