Lawatan penanda aras UUM Press ke Penerbit UniMAP perkukuh jaringan strategik penerbitan universiti
Gambar UUM Press
PERLIS, 13 Mei 2026: UUM Press telah mengadakan lawatan penanda aras ke Penerbit UniMAP pada 12 Mei lalu bagi memperkukuhkan hubungan strategik serta berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan dan pembangunan penerbitan akademik universiti.

Delegasi UUM Press diketuai oleh Pengarah, Prof. Madya Dr. Johan Afendi Ibrahim bersama pegawai dan staf penerbitan, manakala kunjungan tersebut disambut oleh Pengarah Penerbit UniMAP, Zulhilizan Othman serta warga kerja Penerbit UniMAP.
Dr. Johan berkata, lawatan ini bertujuan mendapatkan pendedahan berkaitan pengurusan operasi penerbitan, transformasi digital, strategi pemasaran buku, penerbitan jurnal serta pelbagai inisiatif inovatif yang dilaksanakan oleh Penerbit UniMAP dalam memperkasa penerbitan akademik universiti.
Sepanjang lawatan, kedua-dua pihak turut mengadakan sesi perbincangan dan pertukaran pandangan berkaitan cabaran semasa industri penerbitan akademik, termasuk usaha memperkukuh budaya penulisan dan penerbitan ilmiah dalam kalangan ahli akademik.

Selain itu, lawatan tersebut membuka ruang kepada potensi kerjasama strategik antara kedua-dua penerbit universiti dalam bidang penerbitan bersama, pembangunan kandungan digital, latihan profesional, promosi buku akademik dan pengembangan jaringan penerbitan di peringkat nasional.
Pihak UUM Press merakamkan penghargaan kepada Penerbit UniMAP atas sambutan mesra dan perkongsian ilmu yang amat bermanfaat.
Diharapkan lawatan penanda aras ini dapat menjadi pemangkin kepada usaha penambahbaikan berterusan serta memperkukuh kecemerlangan ekosistem penerbitan akademik universiti awam negara. – Azizan Ismail @ Ariffin



