Education

SCIMPA rai kerjasama antarabangsa menerusi Program Mobiliti UUM X QHHU Creative X-Change

Berita dan gambar Dr. Syamsul Hirdi Muhid dan Thirukaliarasan Kannu

SINTOK, 17 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) telah berjaya melaksanakan program mobiliti inbound tidak berkredit “UUM x QHHU Creative X-Change” bersama Qingdao Huanghai University (QHHU), China yang berlangsung dari 7 sehingga 18 April lalu.

Program ini melibatkan seramai 75 peserta dari Pusat Pengajian Reka Bentuk dan Seni Halus, Qingdao Huanghai University dan merupakan salah satu inisiatif memperkukuhkan jaringan kerjasama antarabangsa, di samping memperluaskan pengalaman pembelajaran rentas budaya dalam kalangan peserta.

Pelaksanaan program ini diketuai oleh Mohamad Amir Abu Seman selaku Ketua Jawatankuasa bersama barisan Jawatankuasa Pelaksana.

Mohamad Amir berkata, sepanjang program berlangsung, peserta telah mengikuti pelbagai pengisian yang memberi penekanan kepada lawatan budaya, pendedahan sejarah seni dan warisan, serta pengalaman interaksi bersama komuniti setempat di beberapa lokasi utama sekitar Kuala Lumpur, Kedah dan Perlis.

Antara pengisian yang dijalankan termasuk lawatan dan aktiviti bersama komuniti di Lebai Saman Creative Village di Naka, sesi pengenalan kampus UUM, serta penyertaan dalam program yang memperlihatkan keunikan budaya dan lokasi kebudayaan dan warisan masyarakat Malaysia di Balai Seni Negara dan Negeri Kedah, Muzium Di Raja Kedah, Kraftangan Malaysia Cawangan Kedah, Masjid Zahir, Pekan Cina Alor Setar, Padang Besar, dan Kampung Warna Warni, Perlis.

Program ini turut melibatkan kerjasama bersama Pusat Kokurikulum, UUM yang membuka peluang kepada pelajar-pelajar Qingdao Huanghai University untuk menyertai kelas Kokurikulum yang melibatkan kesenian.

Sepanjang aktiviti tersebut, peserta didedahkan kepada demonstrasi seni mempertahankan diri seperti Silat Gayong, dan silat olahraga, selain mengikuti kelas tarian serta kelas muzik tradisional yang merangkumi gamelan dan angklung dengan bimbingan jurulatih kelas muzik.

Di samping itu, program ini turut diserikan dengan sesi perkongsian ilmu bertajuk “A Simple Way to Understand Halal” anjuran Institute of Halal Management (IHM), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), UUM.

Sesi tersebut menampilkan Dekan IBS, Prof. Dr. Selamah Maamor sebagai penceramah utama. Program ini diadakan bagi memberi penerangan yang mudah dan jelas mengenai konsep halal kepada peserta, sekali gus meningkatkan kefahaman serta kesedaran tentang kepentingan halal dalam konteks antarabangsa.

Sementara itu, Dekan SCIMPA, Prof Madya Gs. Dr. Ruzinoor Che Mat berkata, kejayaan penganjuran “UUM x QHHU Creative X-Change” membuktikan komitmen berterusan SCIMPA dan UUM dalam memperkasakan agenda pengantarabangsaan universiti melalui penganjuran program mobiliti yang bersifat inklusif, holistik dan berimpak tinggi.

Beliau berharap program ini akan menjadi pemangkin kepada hubungan strategik yang lebih erat antara SCIMPA, UUM dan QHHU pada masa hadapan, khususnya dalam memperkasakan bidang industri kreatif.

Program ini juga turut dibantu dari wakil persatuan pelajar SCIMPA, Creative Innovative Association (CIA), Chen Yu Jie, Fatin Nurashikin Ridzuan, Gan Soo Yee, Janice Kesavan, Muhammad Hakimi Alihan, Nooraini Abdul Razak, Nor Kasih Farisha Affandi, Norsyafira Mijan, Nur Hadirah Abdullah dan Vinhosshini Devan yang membantu membimbing delegasi Qingdao sebagai fasilitator dan buddies SCIMPA sepanjang tempoh program ini berlangsung.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button