Campus

Bengkel Animasi Karakter 3D guna software Blender

Berita dan gambar Ts. Dr. Nadia Diyana Mohd Muhaiyuddin

SINTOK, 17 Mei 2026: Bengkel Animasi Karakter 3D telah diadakan pada 5 sehingga 7 Mei lalu secara hibrid yang  melibatkan pelaksanaan secara fizikal dan juga secara dalam talian.

Ketua Projek Program Inkubator SMMTC, Dr. Mohd Fairuz Zaiyadi berkata, bengkel ini bukan hanya bertujuan sebagai sesi latihan semata-mata, sebaliknya menjadi sebahagian daripada Program Inkubator Innopreneur@SMMTC.

Menurutnya, program ini merupakan inisiatif Universiti Utara Malaysia melalui Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC) bagi melahirkan individu kreatif yang bukan sahaja mempunyai kemahiran teknikal, malah mampu berkembang sebagai penghasil kandungan digital, pencetus inovasi serta usahawan dalam industri kreatif masa kini dan akan datang.

Sementara itu, Pensyarah Kanan SMMTC, Dr. Hammuzamer Irwan Hamzah turut menjelaskan bahawa program ini memberi peluang kepada pelajar dan pensyarah untuk memperkukuhkan kemahiran teknikal di samping memupuk pemikiran kreatif dan inovatif.

Menurutnya, kemahiran dalam bidang animasi boleh dijadikan sebagai prospek kerjaya dan keusahawanan yang berpotensi tinggi.

“Dengan perkembangan industri animasi global yang semakin pesat, penguasaan kemahiran seperti character modeling, texturing, rigging, dan animasi menggunakan perisian Blender menjadi keperluan penting agar graduan terus relevan dan mampu bersaing dalam industri,” katanya.

Sebahagian besar peserta yang menyertai bengkel ini terdiri daripada pelajar di bawah bimbingan Pensyarah Kanan SMMTC, Jasni Ahmad.

Bengkel tersebut dikendalikan oleh penggiat industri berpengalaman, Ahmad Azizi Mohammad Zam Zam yang merupakan pengasas kepada Bapak Studio.

Beliau memiliki pengalaman lebih tujuh tahun dalam bidang permainan digital dan animasi serta pernah menyumbang kepakaran dalam beberapa projek terkenal seperti Mechamato The Movie, Boboiboy, Dirt Rally 2.0, dan Grid 2019.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button